Kelantan Himpun Kembali ‘Anak Jati’, Latiff Suhaimi Pemain Terbaharu Diikat Pertengahan Musim Ini

Kelantan jelas menunjukkan mereka sebagai calon pasukan yang paling bersedia untuk melayakkan diri ke saingan Liga Super musim hadapan menerusi beberapa persiapan semasa telah dibuat.

Kelab tersebut juga tidak berlengah untuk memastikan sebarang kelemahan mereka cepat diatasi dengan membuat rombakan agar mereka sentiasa bersedia dalam setiap cabaran dihadapi

Terbaharu, mereka berjaya mendapatkan pemain kelahiran Kota Bharu iaitu Abdul Latiff Suhaimi untuk mengukuhkan jentera pertahanan kelab bagi menghadapi baki saingan Liga Premier 2022.

Latiff yang sebelum ini menjadi tonggak buat Penang dalam saingan Liga Super, bakal membuat penampilan sulung beliau bersama kelab dari negeri kelahirannga sendiri sepanjang karier selaku pemain bola sepak profesional.

Pemain yang boleh beraksi selaku pertahanan dan posisi tengah itu dilihat bakal menyumbang pengalaman terbaik beliau buat para pemain Kelantan selain memberi lebih banyak pilihan buat pengendali mereka, Rezal Zambery Yahya mencongak taktikal.

Perkara tersebut telah diumumkan sendiri oleh kelab tersebut menerusi media sosial mereka semalam dan mendapat perhatian ramai terutama sekali penyokong setia Kelantan.

Menurut Qusmaini Noor Rosli selaku Pengurus Operasi TRW Kelantan, beliau optimis pertahanan tinggi lampai tersebut mampu memberi kelebihan buat pasukannya di posisi pertahanan sebaik sahaja saingan liga kembali bersambung.

“Kehadiran Latiff diharap dapat mengekalkan rekod kekebalan pasukan mengharung baki saingan liga musim ini. Dia akan melapor diri dalam masa terdekat,” kata Qusmaini menerusi Arena Metro.

Untuk rekod, Latiff sebelum ini pernah beraksi dengan pelbagai kelab dalam Liga Malaysia (Liga-M) selain Penang seperti Kedah, Felda United, PDRM, serta beberapa pasukan lagi.

Latiff juga pernah mencatat nama selaku pemain skuad kebangsaan apabila beliau beraksi pada tahun 2016 ketika menentang Papua New Guinea.

Kelantan pada musim ini tidak menandatangani mana-mana pemain import di posisi pertahanan selain bergantung harap kepada tenaga tempatan sahaja untuk mengemudi posisi tersebut.

Empat pemain import Kelantan berjaya ditandatangani musim ini ialah Fadel Antar, Kerverns Belfordt, Natanael Siringoringo, dan Nixon Guylherme yang beraksi di posisi serangan kelab tersebut.

Sumber:
Harian Metro

Leave a Reply