Pasukan Pantai Timur, Kelantan hanya akan mengekalkan dua pemain import mereka musim ini sahaja untuk dibawa ke saingan 2023.
Bakal bersaing dengan 15 lagi pasukan untuk merebut Liga Super musim depan, jadi adalah perlu untuk melakukan perubahan supaya Kelantan akan terus mencabar.
Keputusan ini dibuat oleh pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham yang hanya memilih untuk mengekalkan cuma Kervens Belfort dan Natanael Siringoringo.
Dua pemain dari Haiti dan Indonesia ini dipilih oleh Kelantan untuk terus kekal bersama-sama pasukan bagi musim hadapan.
“Hanya Kervens Belfort sahaja yang saya kekalkan musim depan disamping Natanael Siringo yang saya akan panggil balik ke Kelantan,” kata Norizam menerusi kenyataan Facebooknya.
Belfort sememangnya bersama-sama Kelantan musim ini sementara Natanael pula dipinjamkan ke Dewa United yang beraksi dalam saingan Liga 1 Indonesia.
Dengan pendedahan Norizam itu, Kelantan secara tidak langsung menyingkirkan baki tiga lagi pemain import mereka musim ini.
Nixon Gulyherme, Kenta Hara dan Felipe Herda ditunjukkan jalan keluar untuk membolehkan Kelantan memperoleh pemain import baharu dalam pasukan.
“Saya akan umumkan beberapa pemain import yang ada penampilan bersama skuad kebangsaan untuk bermain bersama Kelantan musim depan.
“Tahun depan, kita akan kekal sebagai pasukan bukan pilihan dengan bajet biasa-biasa tanpa bantuan kerajaan negeri. Kita 100% swasta,” kata Norizam.
Kelantan pada musim 2022 berjaya untuk menduduki tangga kedua Liga Premier sambil layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia.