Kelantan Belum Selamat, Masih Ada Hutang Tertunggak

KAFA

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih belum boleh mendabik dada mahupun merasa selesa sekalipun terlepas daripada hukuman potongan tiga mata oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia.

Hal ini kerana pasukan tersebut sekadar mengemukakan Deklarasi Berkanun untuk mengisytiharkan tunggakan hutang dan bukan bermakna sudah ‘bebas’ dari masalah hutang tersebut tetapi sekadar mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit.

Memetik laporan Berita Harian, FAM memaklumkan KAFA masih ada tiga kes tunggakan gaji yang masih dalam proses untuk dibawa ke Jawatankuasa Status badan induk tersebut.

Bagaimanapun Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW), Datuk Wan Rakemi Wan Zahari bertekad untuk memastikan Kelantan dapat melupuskan segala hutang lapuk dan sekaligus dapat mengembalikan kegemilangan pasukan pantai timur itu.

“Isu hutang telah banyak diselesaikan melalui persetujuan antara KAFA dan pemain terlibat. Sehingga kini, kita berjaya selesaikan hampir RM2.5 juta bayaran tertunggak yang sebelum ini merupakan ‘barah’ buat pasukan Kelantan,” kata Wan Rakemi dalam siaran media yang disiarkan.

Pada musim lepas, Kelantan pernah dipotong mata akibat daripada masalah hutang yang membelenggu pasukan tersebut.

Sebagai altenatif menyelamatkan pasukan daripada terus dibebani hutang, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) telah menjalinkan kerjasama dengan After Image Sdn. Bhd.

Jalinan kerjasama antara KAFA dengan After Image Sdn Bhd itu telah membentuk sebuah syarikat yang dikenali sebagai Team Red Warriors (TRW) Sdn. Bhd untuk mengendalikan pasukan Kelantan FA.

Usaha tanpa jemu TRW Sdn. Bhd sejurus diberikan mandat untuk mengendalikan pasukan Kelantan FA dengan bantuan barisan kepimpinan KAFA syarikat berkenaan telah mencapai ‘kemenangan’ pertama apabila berjaya mendapatkan lesen bagi membolehkan TRW kekal bersaing di Liga Primier musim 2020.

“Saya gembira apabila MFL mengumumkan Kelantan bebas daripada pemotongan mata kerana telah turuti peraturan ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Berhubung penaja utama pula, kita masih dalam proses mencari. Ada yang menyatakan keinginan namun belum dapat diumumkan. Mungkin akan ada beberapa perbincangan lagi selepas ini,” katanya lagi.

Kredit Foto: Kelantan FA

Leave a Reply