Analisis: Siapakah Yang Perlu Dibeli Oleh 6 Kelab Utama EPL Sebelum Tamat Jendela Perpindahan?

Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah pun berusia 3 perlawanan. Menjelang jendela perpindahan yang akan ditutup pada 31 Ogos (Jumaat), ini bermakna setiap pasukan yang bertanding punyai baki kurang dari seminggu untuk memperkemaskan skuad sedia ada.

Adakah 6 pasukan utama EPL sudah mempunyai skuad yang lengkap dalam memastikan kempen mereka pada musim 2017/18 ini kekal kompetitif?

Artikel ini merungkaikan kepada anda analisis kami berdasarkan keperluan semasa 6 kelab utama di EPL. Di manakah posisi yang harus diperkuatkan? Siapakah pemain yang sesuai? Bolehkah setiap kelab mendapatkan pemain yang dikehendaki?

1. Chelsea

Juara EPL musim 2016/17 ini masih memerlukan seorang penyerang dan juga seorang pertahanan tengah yang berkualiti untuk berada di dalam taktikal 3-4-3 Antonio Conte.

Wang bukan isu untuk kelab yang dimiliki oleh jutawan minyak dari Rusia, Roman Abramovic ini. Virgil van Dijk dan juga Jonny Evans adalah pilihan termudah, jika pengalaman di EPL menjadi kriteria.

(Photo by Paul Gilham/Getty Images)

Alvaro Morata kelihatan sudah mulai menyesuaikan diri dengan kehidupan di London. 1 gol dan 1 bantuan gol yang dihasilkan pada hujung minggu yang lalu adalah sekilas kemampuan penyerang antarabangsa Sepanyol ini.

Menjelang Piala Dunia 2018 pada musim panas akan datang, kami yakin Morata mahu membuktikan kepada pengkritik bahawa Conte tidak melakukan kesilapan membawa beliau ke Stamford Bridge.

Persoalan terbesar untuk Chelsea adalah: mampukah Michy Batshuayi menjadi harapan buat Chelsea memburu kejuaraan jika Morata mengalami kecederaan? Batshuayi adalah pemain yang bagus, namun masih kurang kualiti jika bola sepak Conte diambil kira sebagai penanda aras.

(Photo by Paul Gilham/Getty Images)

Pierre-Emerick Aubameyang adalah antara pilihan yang ada di pasaran, namun kekuatan fizikal pemain ini bukanlah aset untuk saingan di EPL.

Pilihan lain? Sukar hendak diperkatakan jika pasaran semasa pemain diambil kira.

2. Tottenham Hotspur

Sukar untuk menilai Tottenham Hotspur kerana pasukan ini tampak seperti sudah menetapkan barisan utama mereka walaupun sebelum sepak mula musim 2017/18.

Mauricio Pochettino mempunyai falsafah bola sepak yang cenderung untuk membangunkan pemain muda menjadi bintang.

(Photo by VI Images via Getty Images)

Berdasarkan falsafah ini maka sudah tentu pemain yang sedang meningkat naik dan sanggup untuk berebut tempat di dalam kesebelasan utama adalah pilihan utama.

Oleh itu Davidson Sanchez yang tiba dari Ajax pada minggu lepas adalah profil pemain yang tepat.

Untuk Sanchez, Tottenham menunjukkan kesanggupan mereka untuk membelanjakan £40 juta untuk seorang pertahanan tengah. Mengapa tidak membelanjakan jumlah yang sama untuk seorang penyerang?

Musim ini Tottenham terus bersandar kepada Harry Kane untuk menjaringkan gol. Seperti harapan Conte kepada Morata, Pochettino juga memerlukan seorang lagi penyerang sebagai pilihan jika Kane direhatkan mahu pun mengalami kecederaan.

. (Photo by Laurence Griffiths/Getty Images)

Tottenham Hotspur sudah pun mempunyai laluan dalam saingan UEFA Champions League. Menentang APOEL adalah wajib jika mereka mahukan peluang untuk mara ke saingan peringkat seterusnya.

Henung-Min Son dan Vincent Janssen adalah antara pilihan penyerang yang ada. Bolehkah kedua-dua pemain menjanjikan gol seperti Kane sepanjang musim yang panjang buat Tottenham?

3. Manchester City

Pep Guardiola mempunyai barisan pemain ‘Galaticos’ dalam senarai skuadnya. Masalah utama bagi Guardiola ialah beberapa pemain yang merupakan tunjang kepada kehebatan Manchester City sejak 5 musim kebelakangan ini mulai dimamah usia.

Posisi yang jelas harus diberi perhatian oleh Guardiola ialah posisi yang diisi oleh Yaya Toure.

Manchester City memerlukan ‘seorang Yaya Toure’ yang berusia 25 tahun.- punyai kelincahan, stamina, kreativiti, visi dan kebijaksanaan yang serupa dengan bekas pemain tengah Barcelona itu.

Ilkay Gundogan adalah pemain yang dibawa masuk untuk mengambil tempat Toure. Satu aspek yang tiada pada Gundogan adalah kelebihan fizikal seperti yang ada pada Toure.

Selain daripada itu, skuad Manchester City di bawah Guardiola boleh dianggap pilihan untuk bergelar juara pada musim ini.

4. Liverpool

Antara perkara yang menyebabkan Philippe Coutinho ingin berhijrah ke Barcelona adalah kerana kecewa gagal memenangi kejuaraan liga walaupun sudah 4 musim berada di Anfield.

Kenyataan ini tidak adil buat Liverpool, mengambil kira kelab berkenaan adalah pihak yang membangunkan bakat muda perancang tengah Brazil itu.

(Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Namun Coutinho adalah bakat istimewa. Beliau perlu diyakinkan bahawa kelab Merseyside itu turut serius untuk memenangi gelaran liga.

Untuk itu, Liverpool boleh membawa masuk sekurang-kurangnya 2 lagi pemain untuk menambah kualiti kepada skuad sedia ada di bawah kendalian Juergen Klopp- seorang penyerang prolifik dan juga seorang pertahanan tengah yang berkualiti.

Liverpool adalah sebuah pasukan yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh berbanding situasi pada 3 musim yang lalu.

(Photo by Alex Livesey/Getty Images)

Serius untuk mencatatkan nama ‘Liverpool’ sebagai juara EPL? Pemain seperti Van Dijk dan juga Aubameyang di Anfield adalah satu kenyataan yang serius!

Siapa tahu, Coutinho mungkin mengubah pendiriannya?

5. Arsenal

Pembelian Alexandre Lacazette bermakna Arsenal mahukan pemain yang mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 20 gol semusim.

Dan jika Alexis Sanchez mampu mengulangi prestasi musim lalu, ditambah dengan keupayaan pemain seperti Theo Walcott, Danny Welbeck dan Oliver Giroud, maka Arsenal sepatutnya mampu menjaringkan gol yang mencukupi untuk kempen musim ini.

(Photo by Craig Mercer – CameraSport via Getty Images)

Masalah utama Arsenal adalah di bahagian pertahanan. 3 gol dibolosi Leicester dan yang terbaru 4 gol di Anfield, jelas masih banyak perkara yang perlu Arsene Wenger lakukan.

Arsenal juga mempunyai isu dengan pemain yang kurang dikehendaki seperti Mathieu Debuchy, Kieran Gibbs, Francis Coquelin dan Lucas Perez- kesemuanya harus dijual untuk memberi bajet kepada Wenger sebelum mendapatkan pemain baharu.

Dengan baki beberapa hari sebelum jendela perpindahan akan ditutup, sukar untuk kita melihat Wenger mampu memperkemaskan barisan sedia ada.

Soalan oleh penulis: Adakah Arsene Wenger tidak membuat ‘homework’ secukupnya untuk belajar dari kesilapan lalu?

Arsenal adalah pasukan paling pincang di antara 6 pasukan utama pada musim ini.

6. Manchester United

Sejak era Sir Alex Ferguson, barisan skuad sedia ada di bawah kendalian Jose Mourinho ini adalah yang terbaik pernah dikumpulkan. Sudah tentu Mourinho dan Manchester United telah berbelanja besar untuk skuad ini.

Secara keseluruhan, mereka tampak seimbang di setiap posisi. Jika ada perubahan, bahagian bek kiri harus menjadi perhatian utama.

(Photo by John Peters/Man Utd via Getty Images)

Sejak dibawa masuk dari Southampton, Luke Shaw gagal membuktikan potensi diri sebagai bek sayap kiri terbaik di England. Kurang keyakinan diri, kecederaan dan juga kurang keinginan untuk bersaing merupakan antara isu yang sering membelengu pemain ini.

Jose Mourinho secara terbuka mengkritik pemain ini pada musim lalu. Daley Blind telah melakukan tugas yang baik untuk 3 perlawanan pembukaan musim 2017/18 di posisi tersebut.

Namun Blind merupakan pemain yang mempunyai masalah konsistensi dan cenderung melakukan kesilapan. Jika kelemahan tersebut mampu diatasinya, maka Blind akan menjadi pilihan utama Mourinho dalam formasi 4-3-3.

(Photo by Paul Jenkins/Action Plus via Getty Images)

Jika tidak, seorang bek sayap kiri harus menjadi buruan Mourinho dalam tempoh beberapa hari ini.

Seperti jiran mereka Manchester City, kami turut menjangkakan Manchester United akan bersaing sebagai juara EPL pada musim 2017/18 ini.

Rumusan

Apa pendapat pembaca kami? Siapakah lagi pemain yang perlu dibawa masuk oleh setiap kelab sebelum 31 Ogos ini? Nyatakan kepada kami pemain yang anda fikirkan sesuai untuk pasukan kegemaran anda!

Sumber:

1. Sky Sports (2017): What do Man Utd, Liverpool, Chelsea, Arsenal, Man City and Tottenham still need?; http://www.skysports.com/football/news/11661/11005204/what-do-man-utd-liverpool-chelsea-arsenal-man-city-and-tottenham-still-need

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN