Saham bintang muda Kedah, Akhyar Rashid tiba-tiba naik selepas mempamerkan aksi memukau ketika dalam saingan Sukan Asia di Indonesia bulan lepas sehingga menarik minat beberapa kelab ternama di Malaysia dan Thailand.
Difahamkan dua pasukan dari Liga super dan sebuah kelab dari Liga Utama Thailand sedang berbincang dengan ejen Akhyar untuk mendapatkan khidmat pemain itu musim depan.
Menurut sumber daripada Harian Metro, wakil dua kelab tempatan itu sudah mengadakan proses perbincangan dan menunjukkan minat dengan tawaran masing-masing.
“Hasil rundingan, mereka memberikan tawaran hebat demi masa depan Akhyar yang dilihat sangat berpotensi dalam industri bola sepak yang sangat kompetitif sekarang ini.
“Selain dua kelab tempatan, kelab ternama Thailand yang kini menduduki antara tangga terbaik carta Liga 1 Thailand juga menunjukkan minat dan menyatakan hasrat melalui rundingan.
“Ini juga satu peluang yang dimaklumkan kerana jika seseorang pemain itu sudah mempunyai pengalaman beraksi di Liga Thailand, maka peluang lebih cerah untuk melebarkan cita-cita beraksi di Liga Jepun.” kata sumber itu.
Sumber itu menyatakan Akhyar tidak menyangka dia kini ‘meletup’ di pasaran dan menghargai setiap tawaran yang diterima walaupun menerima kritikan dan pujian peminat ketika ini.
“Sebagai pemain Kedah, Akhyar tetap menghormati majikannya Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kerana dia masih mempunyai kontrak setahun.
“Sudah pasti dia akan merujuk terlebih dahulu dengan persatuan sebelum memikirkan apa-apa tawaran.”
Malah, baru-baru ini timbul khabar angin di media sosial mengatakan Akhyar bakal berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas dilihat merakam gambar di depan laluan masuk ke padang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Biarpun ada pihak yang menyatakan ia sekadar lawatan biasa, ia masih belum mampu diterima, apatah lagi, lawatan dan kunjungan peribadi beberapa pemain ke stadium Harimau Selatan itu sering kali berakhir dengan perpindahan ke pasukan itu.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Facebook JOHOR Southern Tigers (JST) pada 16 September lalu turut mengakui beliau akan ‘memborong’ lebih ramai pemain tempatan sebagai persediaan menghadapi saingan musim depan yang dijangka lebih mencabar.