Kelab Liga Sosial Ini Lancar #ProjekOhana Untuk Bantu Insan Memerlukan

Bola sepak adalah sukan yang unik. Ini kerana ia boleh memberikan anda 1001 sebab untuk menggemarinya. Maka tidak hairanlah bagaimana bola sepak boleh menjadi sukan No.1 di kebanyakkan negara.

Namun ia juga bukan sekadar satu permainan. Lebih dari itu, bola sepak juga menerapkan pelbagai nilai murni yang boleh membina jati diri seseorang pemain. Sifat tolong menolong dan bekerjasama adalah antara perkara yang ditekankan di dalam sesebuah pasukan bola sepak.

Ia sekaligus membantu membentuk semangat berpasukan yang tinggi – menjadikan keakraban di kalangan ahli pasukan seperti satu keluarga.

The Ohana FC

Itulah perkara yang cuba disampaikan oleh salah sebuah kelab Liga Sosial di negara ini yang dikenali sebagai The Ohana FC. Maksud di sebalik ‘Ohana’ itu sendiri membawa pengertian yang unik. Ia membawa maksud keluarga.

Kelab bola sepak The Ohana FC ditubuhkan pada 2017 oleh beberapa orang rakan yang sering bermain bola sepak bersama. Sebahagian daripada mereka telah pun beraksi bersama sejak 2009 bersama pasukan di Liga FAS.

 

View this post on Instagram

 

@klangvalleyleague MATCHDAY 5 , #THEOHANA FULL SQUADS. Welldone bees, great game! #ohanameansfamily #ohanakepalabana #banastillbana

A post shared by The Ohana FC (@theohanafc) on

Pemain datang silih berganti kerana pelbagai komitmen. Namun asas kepada kelab ini tetap sama – iaitu mementingkan nilai persaudaraan dan persahabatan di kalangan ahli pasukan.

Hari ini The Ohana FC adalah salah sebuah pasukan yang beraksi di Divisyen 2 Klang Valley League (KVL) – liga bola sepak amatur terbesar di negara ini.

Bercita-cita besar

Walaupun masih dianggap baru di dalam saingan bola sepak sosial, The Ohana FC mempunyai cita-cita besar untuk dicapai pada masa hadapan.

Merupakan pendahulu liga Divisyen 2 KVL pada hari ini, antara perkara yang disasarkan oleh The Ohana FC pada masa hadapan ialah untuk mewujudkan pasukan pelapis, layak beraksi secara merit di Selangor Champions League, dan juga melayakkan diri ke pusingan kelayakan pertandingan Piala FA Malaysia.

Malah The Ohana FC bertekad untuk mewujudkan sebuah akademi bola sepak di masa hadapan – sebagai projek jangka masa panjang – dalam melahirkan lebih ramai bakat bola sepak untuk kelab dan negara.

#ProjekOhana

Tidak hanya tertumpu kepada bola sepak, fokus The Ohana FC juga terarah kepada cara untuk berbakti kepada masyarakat. Bercakap kepada salah seorang pengasas The Ohana FC, Hanif Miswan, beliau berkata untuk berbuat demkian, mereka telah melancarkan satu projek berasaskan kebajikan yang dinamakan #ProjekOhana.

Pelbagai aktiviti kebajikan telah diletakkan di bawah #ProjekOhana, dan projek pertama ialah untuk membantu seorang pembuat kuih dan makanan sejuk beku yang menyediakan perkhidmatan penghantaran secara percuma kepada pelanggan di sekitar Lembah Kelang.

Melalui projek tersebut, The Ohana FC mensasarkan kutipan sebanyak RM7,000 untuk mendapatkan sebuah motorsikal baru empat lejang.

Pernah menyaksikan sendiri bagaimana pengusaha yang merupakan ibu kepada tujuh anak kecil menolak motosikal lusuh yang rosak ketika menghantar makanan kepada pelanggan, Hanif berkata dana yang diraih akan digunakan untuk membeli motorsikal baharu untuk kegunaan wanita tersebut.

Bagaimana anda boleh turut membantu?

Bagi anda yang ingin turut serta dengan #ProjekOhana ini, anda boleh berbuat demikian dengan hanya membuat tempahan jersi pasukan The Ohana FC. Setiap RM5 dari hasil jualan akan disumbangkan terus untuk menjayakan projek tersebut.

Setiap jersi The Ohana FC untuk tujuan #ProjekOhana akan dijual bermula dengan harga RM45 untuk kanak-kanak, dan RM60 untuk dewasa.

The Ohana FC juga menerima sumbangan terbuka dari orang ramai atau pun dalam bentuk penajaan individu dan syarikat swasta untuk menjayakan #ProjekOhana ini.

Bagi anda yang berminat, anda boleh menghubungi saudara Hanif Miswan melalui akaun Facebook beliau di sini  atau terus sahaja menghubungi @The Ohana FC di laman Instagram.

Rumusan

Selain daripada #ProjekOhana, kelab bola sepak ini juga turut merancang untuk mengadakan beberapa aktiviti lain sebagai sebahagian daripada projek memberi kembali kepada masyarakat. Anda boleh mengikuti laman Instagram milik mereka seperti yang dipaparkan di atas untuk kemas kini terkini daripada The Ohana FC.

Akhir sekali, kami di Semuanya BOLA mengharapkan agar segala perancangan dan usaha murni The Ohana FC mampu membantu mereka yang memerlukan. Untuk anda, tunggu apa lagi? Jom kita dapatkan jersi The Ohana FC pada hari ini!

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN