Dengan populasi penduduk sekitar 7000 orang, bandar Guingamp bukanlah sebuah bandar besar di Perancis dan ianya terletak di kawasan barat laut Perancis.
Namun disebalik populasi penduduknya yang semakin mengecil, Guingamp memiliki sebuah kelab bola sepak yang semakin berjaya di Eropah, En Avant de Guingamp.
Beraksi di dalam liga yang dikuasai oleh pasukan yang memiliki kuasa wang, kelab tersebut yang memiliki bajet kecil terus mempamerkan kekuatan mereka yang tersendiri.
En Avant de Guingamp?
En Avant de Guingamp telah ditubuhkan sejak 106 yang lalu iaitu pada tahun 1912 seterusnya telah menjadi kelab profesional sepenuhnya bermula pada tahun 1984.
Enam tahun kemudian, stadium mereka, Stade de Roudourou telah siap dibina dan ia mampu memuatkan sehingga 18,000 penyokong, iaitu lebih 2 kali ganda populasi penduduknya!
Guingamp telah 3 kali dinaikkan pangkat ke Ligue 1 iaitu pada musim 1995, 2000 dan kali terakhir pada 2013. Dan sehingga kini, Guingamp tidak pernah diturunkan pangkat lagi.
Mereka pernah memenangi Coupe de France dua kali dan kali terakhir pada musim 2013/14 selepas melepasi cabaran AS Monaco di peringkat separuh akhir dengan keputusan 3-1.
Mereka juga pernah mara sehingga ke pusingan 32 terbaik kejohanan Europa pada musim 2014/15, namun dikecewakan oleh Dynamo Kyiv dengan keputusan 3-4.
Kedudukan kewangan mereka tidaklah setanding PSG, namun walaupun mereka tidak memenangi sebarang kejuaraan, pencapaian mereka wajar diberikan perhatian.
Bajet tahunan yang kecil
Sudah masuk musim kelima mereka beraksi di Ligue 1 dan kedudukan mereka tidaklah seburuk mana walaupun tidak berbelanja besar seperti kelab-kelab lain.
Bajet tahunan Guingamp adalah di bawah €30 juta, sementara PSG pula membayar gaji penyerang sensasi mereka, Neymar hampir dengan nilai tersebut, suatu yang tinggi perbezaannya.
Menurut laporan Evening Standard, gaji Neymar di PSG adalah sekitar £3,200 untuk satu jam bersamaan hampir £28 juta setahun, juga hampir bersamaan bajet tahunan kelab tersebut!
Bajet mereka sentiasa yang terendah di Ligue 1, namun mereka kekal konsisten berada di pertengahan liga dan sedang bersedia untuk memasuki musim keenam mereka.
Untuk musim 2017/18, menurut laporan Lequipe, bajet tahunan Guingamp adalah yang paling rendah iaitu £26 juta walaupun mereka sudah lima musim beraksi di Ligue 1.
Pencapaian
Berikut merupakan kedudukan akhir dan mata terkumpul mereka sejak meraih promosi ke Ligue 1 bermula pada musim 2013/14:
- 2013/14: Kedudukan ke-16 (42 mata)
- 2014/15: Kedudukan ke-10 (49 mata)
- 2015/16: Kedudukan ke-16 (44 mata)
- 2016/17: Kedudukan ke-10 (50 mata)
- 2017/18: Kedudukan ke-11 (42 mata)*
*Berbaki lima perlawanan
Jika dilihat kepada mata yang dikumpul, Guingamp konsisten mengumpul dalam lingkungan 40 hingga 50 mata. Kedudukan mata yang selamat daripada penyingkiran.
Mereka kini dibimbing oleh bekas pengurus PSG untuk musim 2009 hingga 2011, Antoine Kombouare. PSG ketika itu dikatakan bermain di tahap terbaik mereka sejak 1994 dan 1996.
Berikut merupakan rekod Guingamp menentang empat pendahulu liga iaitu PSG, AS Monaco, Lyon dan Marseille:
- PSG (Guingamp tewas 0-3)
- AS Monaco (Guingamp tewas 0-6)
- Lyon (Guingamp tewas 1-2)
- Marseille (Guingamp tewas 0-1)
Rekod menentang empat pendahulu liga tersebut tidaklah baik, namun, mereka konsisten untuk memenangi perlawanan yang sepatutnya mereka menang.
Antara statistik menarik ketika ini ialah penjaga gawang mereka adalah antara yang terbaik di Ligue 1, Karl-Johan Johnsson yang telah merekodkan 11 cleansheet, iaitu ke-4 terbaik liga.
Pemilik kelab adalah orang tempatan
Guingamp dimiliki oleh masyarakat di sana iaitu 145 ahli peniagaan tempatan. Ia sangat berbeza dengan kelab-kelab besar di Ligue 1 yang rata-ratanya dimiliki oleh pemilik luar.
Antara kelab-kelab yang dimiliki pemilik luar adalah PSG oleh Qatar, AS Monaco pula oleh usahawan Rusia, Dmitry Rybolovlev dan Marseille dimiliki oleh usahawan Amerika, Frank McCourt.
Bagi mereka, dengan bekerja bersama akan memupuk semangat kelab mereka. Pada tahun lalu, kelab memperkenalkan sistem pemegang saham yang dinamakan ‘Kalon’.
Ia membenarkan penyokong kelab membeli saham kelab dengan harga €40 seunit dan ketika ini terdapat lebih 15,206 pemegang saham dan ianya melebihi populasi Guingamp sendiri.
“Ketika ini terdapat banyak pelabur luar (dalam liga), dari Qatar, dari China. Tetapi kami sebaliknya. Kami dimiliki oleh 145 peniaga tempatan. Bukan dari China atau Rusia.
“Hanya orang tempatan,” ujar Presiden kelab, Bertrand Desplat kepada The Independent untuk menjelaskan bagaimana wang bukanlah segalanya bagi mereka.
Jika tidak kerana wang, bagaimana Guingamp yang dimiliki oleh orang tempatan di sana mampu berjaya?
Utamakan perkara yang tidak boleh dibeli dengan wang
Empat teras utama kelab ini iaitu kerja keras, rendah hati, semangat melawan dan perpaduan akan diterapkan kepada setiap pemain yang menyarung jersi Guingamp.
Setiap pemain kelab akan dibekalkan satu dokumen bertajuk ‘Engagements’, yang menjelaskan mengenai komitmen dan kewajipan setiap pemain untuk kelab.
Selain itu, pemain-pemain yang baharu ditandatangani akan diberikan satu sesi khas selama sejam untuk diterangkan mengenai sejarah lama dan nilai kelab.
Ia mungkin dipandang remeh oleh sesetengah pihak, namun dengan cara ini kelab mereka telah mempamerkan yang mereka cukup kukuh di liga walaupun kelab berbajet rendah.
Kelab untuk pemain muda melonjak karier mereka
Guingamp juga dikenali sebagai tempat untuk pemain-pemain muda berbakat untuk melonjakkan karier mereka ke pasaran luar negara antaranya seperti Didier Drogba dan Florent Malouda.
Selain dua pemain tersebut, pemain pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny dan pemain tengah Stoke City, Giannelli Imbula juga pernah bersama kelab ini di awal karier mereka.
Lagenda Chelsea, Didier Drogba beraksi di sana pada usia 24 tahun. Pada musim kedua baharulah Drogba menjadi dengan 17 gol dan membantu kelab meraih kedudukan ke-7, yang merupakan rekod kedudukan terbaik kelab.
Beraksi bersamanya ialah Florent Malouda yang ketika itu baharu berusia 22 tahun. Guingamp adalah pentas yang memperkenalkan bakatnya di Ligue 1 bersama-sama Drogba.
Sementara Laurent Koscielny, bakatnya mula dihidu oleh kelab ketika bersama kelab bukan liga, Limoges pada usia 17 tahun dan kemudian bersama mereka untuk tiga musim.
Pembangunan pemain muda tidak terhenti dan kini generasi baharu pula mula memunculkan diri. Antaranya anak Drogba, Isaac yang telah menyertai kelab pada Februari lalu.
Anak pertahanan Perancis, Lilian Thuram, Marcus yang kini berusia 20 tahun pula telah beraksi bersama skuad utama. Pemain yang dikaitkan dengan Liverpool, Marcus Coco juga adalah antara pemain muda berbakat yang sedang bersama kelab.
Penutup
Bak kata Presiden kelab, “Jangan pernah lupa bahawa kami adalah bandar terkecil di Ligue 1. Kami sepatutnya bermain di divisyen keenam atau tujuh di Perancis, bukan di divisyen utama.”
Penyataan tersebut menggambarkan bahawa Guingamp sepatutnya bermain di liga bawahan, namun atas semangat juang yang tinggi, mereka kini adalah antara kelab yang semakin berjaya.
Kejayaan mereka tidak diukur dengan jumlah piala yang dimenangi. Guingamp dimiliki oleh orang tempatan dan berjaya bertahan di Ligue 1 walau hanya dengan bajet yang rendah.
Apabila mengenangkan masalah dan nasib oleh Marcerra Kuantan FA di dalam saingan Liga Malaysia baru-baru ini, mungkin sesuatu boleh kita pelajari daripada Guingamp.