Kerjaya sebagai penganalisis bersama pasukan bola sepak di Malaysia mungkin kedengaran sedikit janggal bagi sesetengah peminat kerana ia masih belum popular.
Di Liga Malaysia, hanya beberapa pasukan sahaja yang sanggup mengeluarkan dana untuk mendapakan kepakaran penganalisis profesional ini kerana mereka sedar, ianya amat diperlukan bagi mendapatkan keputusan positif.
Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan salah satu kelab yang mempunyai kelengkapan dalam carta organisasi ini.
Bekas penganalisis mereka, Haydee Agras antara tonggak utama kejayaan Harimau Selatan sebelum ini. Kini beliau telah melebarkan sayap bersama Brentford yang bermain di Premier League (EPL).
Mungkin atas faktor ini juga membuatkan JDT begitu dominan di Liga Malaysia kerana mereka mempunyai tambahan maklumat dan memudahkan barisan kejurulatihan merencanakan strategi dengan lebih mantap.
Tugas mereka ini bukan sekadar merakam video perlawanan lalu beri kepada jurulatih.
Lebih malang tugas seperti ini kadang-kala diberikan kepada seseorang yang harus melakukan beberapa skop kerja lain kerana langkah penjimatan kewangan.
Malah, ada yang rekrut juruvideo untuk membantu pasukan utama dan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi pasukan itu sendiri.
Untuk memikul tugasan ini, perkara paling penting adalah minat dan harus menonton perlawanan sebanyak mungkin kerana ia adalah ilmu tambahan kepada tugasan tersebut.
Jika mereka bertindak sebagai penganalisis kepada pasukan, ia bukan sekadar merakam video semberono tetapi menyediakannya secara terperinci kekurangan serta kelebihan kepada jurulatih.
Dengan cara ini, maklumat yang diperoleh dari pasukan analisis sama ada di dalam latihan mahu pun perlawanan, ketua jurulatih dapat bertindak lebih cepat serta pantas untuk mengenal pasti kelompongan yang ada lalu dapat menambah baik kekurangan itu.
Bukan setakat itu sahaja, jurulatih juga dapat menyediakan pemain yang sesuai dengan taktikal yang akan digunakan dalam perlawanan seterusnya.
Kerana apa? Ianya disebabkan pasukan tersebut sudah mengetahui secara mendalam permainan pasukan lawan.
Juruvideo dan pengalisis profesional ini adalah dua skop kerja yang berbeza. Juruvideo hanya merakam lalu ‘muntahkan’ kembali rakaman tersebut kepada jurulatih.
Sebaliknya bagi penganalisis pula, mereka perlu mengkaji permainan dan menyedikan laporan perlawanan kepada barisan jurulatih secara mendalam.
Contohnya, taktikal yang digunakan, pergerakan pasukan ketika bertahan atau menyerang dan apa kekuatan yang mereka ada serta apa kelemahan yang boleh digunakan untuk memenangi perlawanan.
Tambahan pula, kadang-kala mereka perlu ke lokasi perlawanan pihak lawan untuk melakukan tugasan menganalisis.
Aspek paling penting dalam hal ini adalah sanggupkah pasukan untuk melabur bagi mewujudkan jabatan analisis?
Mungkin disebabkan ini juga, ada pasukan di Liga Malaysia lebih sanggup mengambil juruvideo untuk melakukan tugasan ini.
Hasilnya, penghujung liga akan menjadi pelengkap jadual liga dan sukar untuk layak ke peringkat lebih tinggi.