Kejuaraan Futsal AFF 2019: Kekalahan Kedua Musnahkan Harapan Skuad Negara

Kebangkitan hebat yang dijelmakan pada babak kedua masih belum cukup buat skuad negara bagi mengelakkan dari tersingkir daripada persaingan Kejuaraan Futsal AFF 2019 selepas tunduk 4-6 ditangan Australia pada perlawanan kedua kumpulan B di Stadium Tertutup Pu Tho, Ho Chi Minh sebentar tadi.

Segalanya tampak serba tidak menjadi buat skuad bimbingan Chiew Chun Yong itu apabila dibolosi lima gol pada 20 minit pertama dan hanya satu jaringan berjaya diperoleh.

Australia tidak menunggu lama bagi membuka tirai jaringan selepas Grant Lynch mudah menolak masuk bola susulan kesilapan kapten, Saiful Nizam Mohd Ali yang gagal mengawal bola dengan baik dalam kawasan D pada minit pertama.

Tempoh lima minit seterusnya terus menjadi igauan buruk buat skuad negara berikutan tambahan dua lagi jaringan oleh Australia menerusi Wade Giovenali pada minit ketiga dan Adam Stuart Cooper berselang tiga minit kemudian.

Australia yang dibimbing Robert Varela terus tajam dalam mencipta apabila Lynch menambah jaringan keempat dan juga merupakan gol kedua peribadinya hasil serangan balas pantas di minit ke-14.

Terdesak akibat ketinggalan empat gol memaksa Chun Yong menerapkan taktikal ‘power play’ dengan lebih awal tetapi pada permulaannya memakan diri setelah Nathan Niski mengambil kesempatan tersebut untuk menjaringkan gol kelima buat Australia.

Ketika aksi babak pertama hanya tinggal beberapa saat untuk ditamatkan, Malaysia berjaya juga mendapatkan jaringan hasil gol sendiri daripada Gregory Giovenali.

Keseluruhan aksi pada babak kedua digunakan sepenuhnya oleh Chiew Chun Yong untuk menggunakan ‘power play’ sebagai senjata untuk mendapatkan jaringan.

Mohd Ridzwan Bakri merapatkan kedudukan pada minit ke-29 selepas beliau menerima lorongan daripada Mohamad Awalluddin Mat Nawi.

Pemain berusia 25 tahun itu terus menekan Australia dengan jaringan ketiga pada minit ke-34 yang sekaligus meningkatkan moral skuad negara.

Semangat kian membara dalam kalangan pemain negara apabila Ridzwan melengkap hatrik pada minit ke-38 sekaligus Australia hanya berkelebihan satu gol.

Namun, Jarrod Basger menoktahkan kebangkitan hebat skuad negara itu pada minit ke-39 dengan jaringan keenam yang sekaligus menghadiahkan kemenangan buat skuad Futsalroos tersebut.

Ini merupakan kekalahan kedua buat skuad negara selepas tunduk 2-3 ketika bertemu Indonesia, semalam.

Kredit foto: Vietnam Football Federation (VFF)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN