Pemain Senegal, Sadio Mane mendedahkan yang kejayaan menjuarai African Cup of Nations (AFCON) merupakan satu nikmat yang cukup besar.
Nikmatnya cukup besar hinggakan melebihi segala rasa yang dialami pemain sayap itu sewaktu memperoleh kejayaan di peringkat kelab.
Mane dan Senegal baru-baru ini menewaskan Mesir di perlawanan akhir menerusi sepakan penalti untuk menjulang gelaran raja Afrika buat kali pertama dalam sejarah.
Terbaik dalam hidupku
Menurut laporan BBC Sport, Mane mendedahkan yang kejayaan menjulang AFCON baru-baru ini adalah kejayaan terhebat yang dimilikinya sepanjang menjadi pemain profesional.
Malah, Mane turut mengatakan yang hari dimana kejayaan yang dimilikinya bersama Senegal baru-baru ini adalah yang terbaik dalam hidupnya.
“Ianya adalah hari yang terbaik dalam hidup saya dan trofi terbaik dalam hidup saya.”
“Saya telah menang UEFA Champions League dan juga kejuaraan lain tetapi ini cukup istimewa untuk saya.”
Kejayaan Senegal ini cukup manis bukan untuk Mane sahaja, tetapi bagi seluruh skuad dan keseluruhan rakyat negara itu.
Kejuaraan yang diraih mereka cukup manis hinggakan cuti umum diisytiharkan kerajaan Senegal bagi meraikan kejayaan indah itu.
“Saya cukup gembira untuk diri saya, rakyat dan juga keluarga saya,” tambah Mane lagi.
Jiwa kental
Kejayaan Mane menjulang kejuaraan AFCON ini lebih manis apabila beliau berjaya melawan kesukaran yang dihadapinya ketik perlawanan.
Mane mengalami detik sukar selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti sewaktu separuh masa pertama.
“Waktu saya gagal sempurnakan penalti itu, ia ibarat batu besar yang menghentam saya.”
Tetapi waktu sukar Mane itu dimudahkan semula oleh rakan sepasukan yang berikan kata-kata semangat untuk terus berjuang.
“Sadio, kita menang dan kalah bersama, kami tahu anda macam mana. Teruskan usaha, anda telah buat macam-macam untuk kami,” itulah kata-kata yang diterima Mane dari rakan sepasukannya.
Kepercayaan yang diterima Mane dari seluruh skuadnya membuatkan mengapa dirinya mampu untuk mara dah menjaringkan penalti kemenangan buat Senegal.
“Mereka datang kepada saya dan cakap yang mereka percayakan saya.”
“Trofi itu milik Senegal sepenuhnya, semua orang berhak mendapatkannya.”