Aksi menakjubkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika Kejohanan AFC B-23 menjadi inspirasi ‘adik-adik’ mereka yang bakal beraksi di Kejohanan AFC B-19, bermula Sabtu ini.
Kejayaan skuad B-23 negara menundukkan Arab Saudi seterusnya mara ke peringkat suku akhir buat kali pertama dalam sejarah sememangnya menjadi sumber inspirasi mereka.
Kapten skuad B-19, Syaiful Alias menyatakan kepada Berita Harian yang kejayaan ‘abang-abang’ mereka menundukkan Arab Saudi menghadirkan keyakinan kepadanya dan rakan sepasukan.
“Ia bukan mudah tapi tak mustahil untuk kami buat kejutan ke atas Arab Saudi, tengok sajalah kejayaan skuad B-23 sebelum ini jadi itu boleh dijadikan motivasi buat pemain,” ujar Syaiful.
Sementara itu, rakan sepasukan yang beraksi di posisi pertahanan, Al Imran Abdul Halim mengakui yang mereka sedikit pun tidak gerun dengan status dan kekuatan pasukan lawan.
Arab Saudi merupakan naib johan edisi dua tahun lalu selepas tewas kepada Jepun dalam penentuan sepakan penalti. Mereka juga pernah bergelar johan dalam dua edisi sebelum ini.
“Memang kami akui Arab Saudi pasukan yang bagus tapi kami tak perlu takut, tak perlu terlalu menghormati mereka.
Kami hanya perlu mengikut taktikal yang diarahkan oleh jurulatih, berdisiplin dalam permainan, insyaAllah kami boleh menang.
“Biasanya perlawanan pertama pasti sukar tapi kami akan cuba berikan yang terbaik kerana jika menang, peluang untuk ke peringkat seterusnya pasti cerah,” ujar Al Imran.
Pengendali pasukan, Bojan Hodak jelas akan mempertaruhkan dua pemain yang telah mendapat kaps antarabangsa bersama skuad senior iaitu Akhyar Rashid dan Nik Akif Syahiran.
Pengalaman bersama skuad senior pastinya telah mematangkan permainan kedua-dua pemain tersebut dan Hodak akan memanfaatkan sepenuhnya kemampuan mereka berdua.
Bercakap kepada Kosmo Online, ‘Messi Kedah’ itu mengatakan yang tenaganya masih banyak dan bersedia memberikan segalanya kepada skuad B-19 dalam saingan AFC B-19 kali ini.
“Tidak menjadi masalah bermain dengan skuad senior kerana saya dibawa masuk pun pada lewat permainan.
“Pada masa sama, saya tidak menggunakan banyak tenaga ketika berdepan Kyrgyzstan dan ia membantu saya lebih fokus untuk kejohanan AFC B-19 kali ini,” ujar pemain berusia 19 tahun itu.
“Saya akan memberikan komitmen terbaik di Jakarta dan berharap semua rakan-rakan lain dapat membantu saya bermula dengan aksi pembukaan menentang Arab Saudi, Sabtu ini,” tekadnya.
Skuad B-19 negara akan memulakan saingan menentang Arab Saudi dan meneruskan aksi kedua menentang Tajikistan (23 Oktober) sebelum turun bertemu China pada 26 Oktober.