Nama pemain legenda Jepun, Keisuke Honda kini secara tiba-tiba menjadi bahan bualan ramai peminat bola sepak tempatan selepas dirinya memberi bayangan untuk terlibat dalam persaingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.
Honda sebelum itu dilaporkan tiba di Malaysia dengan tujuan sebenar bekas pemain kebangsaan Jepun itu masih lagi menjadi samar-samar dan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat.
How about if I play football in Malaysia in the future? I think you'll get to see the best Japanese player⚽️😝 https://t.co/JKUVlg6eTI
— Keisuke Honda (@kskgroup2017) September 26, 2023
“Saya telah pun melawat Kuala Lumpur (Malaysia). Saya sangat teruja untuk berjumpa orang baharu serta belajar sesuatu yang baharu,” ujar Honda menerusi media sosial X beliau.
Kehadiran Honda jelas mendapat sambutan meriah dalam kalangan peminat tempatan yang memberi komen-komen untuk sedia menyambut beliau kini di Malaysia.
Pada masa sama, Honda turut memuat naik satu lagi kenyataan di media sosial X beliau dengan seolah memberi bayangan untuk mewakili salah satu pasukan di sini musim hadapan.
“Bagaimana jika saya bermain bola sepak di Malaysia untuk masa akan datang? Saya rasa kamu akan dapat lihat pemain Jepun terbaik di sini,” kata Honda lagi.
Kenyataan Honda itu jelas menarik perhatian media rasmi salah satu kelab Liga M musim ini iaitu PDRM dengan menyatakan pemain tersebut sedia bergandingan bersama penyerang impory mereka iaitu Bruno Suzuki.
Jika perkara tersebut dapat direalisasikan pada musim hadapan, maka Liga M sekali lagi tampil meriah dengan kehadiran bekas pemain Piala Dunia yng sangat berkualiti.
Daripada segi kebolehan, mungkin Honda tidak lagi seperti dahulu. Namun, pemain ini mampu menyumbang banyak perkara daripada segi pengalaman untuk memberi panduan buat bakat-bakat muda PDRM.
Kali terakhir Honda beraksi secara kompetitif ialah pda tahun 2021 dengan pemain tersebut menyertai FK Suduva di Lithuania selama beberapa bulan sahaja.
Musim ini menyaksikan PDRM antara pasukan sangat menonjol bersama penyerang import mereka iaitu Bruno Suzuki yang merupakan pemain berdarah kacukan Jepun dan Brazil.
Walaupun tidak beraksi di pentas tertinggi seperti Honda, pemain ini tetap memberikan impak cukup baik bersama PDRM khususnya di posisi serangan pasukan tersebut.
Suzuki + Honda anyone? 🤔 @brunosuzuki9 https://t.co/uXnHathyGj
— PDRM Football Club 🇲🇾 (@officialpdrmfc) September 26, 2023
Sesuatu yang sangat menarik jika PDRM benar-benar berusaha untuk mendapatkan Honda, kerana Liga M akan terus mendapat perhatian ramai selepas ini serta pasukan tersebut bakal bertambah kuat untuk mengejutkan kelab-kelab gergasi lain tahun hadapan.
Selain PDRM, kelab lain yang sebelum ini pernah berhubung bersama Honda ialah Selangor dan berkemungkinan untuk bekas pemain AC Milan itu bersama The Red Giants juga sangat kuat.