Quantcast

BERITA

Keisuke Honda Ada Ramuan Rahsia Untuk Menewaskan Harimau Malaya

Pengendali baharu skuad kebangsaan Kemboja, Keisuke Honda menyedari tugas sukar sedang menanti pasukannya apabila melayan kunjungan pasukan Harimau Malaya di Stadium Olimpik Phnom Penh pada hari isnin ini.

Bintang Jepun itu telah menandatangani kontrak dua tahun sebagai jurulatih Kemboja tanpa gaji dan tekad mencipta kemenangan dalam tugasan pertamanya.

Honda yang bersara daripada bola sepak antarabangsa bulan lalu selepas Jepun tewas kepada Belgium di Piala Dunia Rusia, akan membantu bola sepak Kemboja dan mempromosi negara berkenaan.

“Saya akan membantu Kemboja membangunkan gaya permainan bola sepak sebenar,” kata penyerang berusia 32 tahun dan bekas pemain AC Milan itu.

Honda memberi arahan kepada pembantunya ketika sesi latihan skuad kebangsaan Kemboja. FOTO: Cambodia FA

Mengulas mengenai pertemuan menentang skuad kendalian Tan Chen Hoe, Honda berpendapat Malaysia sebuah pasukan yang kuat dan akan menjadi ujian terbaik untuk mengenalpasti kelemahan dalam pasukannya.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar pada hari isnin ini kerana Malaysia bukan calang-calang pasukan dan agak kuat. Saya mahu sumbangkan segala pengalaman yang ada untuk membantu pasukan Kemboja.

“Misi saya sekarang ialah membangunkan bola sepak Kemboja dan sudah tentu ianya bukan tugas yang mudah,” katanya.

Skuad Kemboja kali ini membarisi pemain yang kini beraksi dengan pasukan Terengganu FC dalam saingan Liga Super iaitu Theirry Chantha Bin.

Malah dua pemain yang pernah beraksi dengan PKNP dan Negeri Sembilan turut terpilih iaitu Keo Sokpeng dan Prak Mony Udom. Bagaimanapun, bekas tonggak Pahang, Chan Vathanaka tidak menyertai skuad kali ini kerana mengalami kecederaan.

Sesi latihan skuad kebangsaan Kemboja. FOTO: Cambodia FA

Honda menyifatkan pengalaman pemain tersebut merupakan satu kelebihan kerana ia memudahkan tugasnya untuk mengetahui corak permainan Malaysia.

“Kapten kami masih beraksi dengan sebuah kelab dalam Liga Malaysia. Beliau ada banyak maklumat mengenai corak permainan pemain Malaysia.

“Ia secara tidak langsung memudahkan lagi tugas kami sebagai jurulatih untuk menyusun strategi dan merangka pelbagai taktikal baru,” jelas Honda.

Kemboja dan Malaysia akan bertemu lagi dalam perlawanan pembukaan dalam aksi Kumpulan A kejohanan Piala AFF pada 8 November ini.

Selepas selesai minggu perlawanan antarabangsa, Keisuke Honda akan kembali ke Australia sebagai pemain Melbourne Victory sebaik sahaja saingan A-League bermula Oktober ini.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!