Kehadiran ramai pemain baharu memperkuatkan Sri Pahang FC pada musim 2022 tidak menggentarkan Baqiuddin Shamsudin, yang sedia berjuang mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama seperti mana musim lalu.
Menurut Baqiuddin dalam temubualnya bersama Media MFL beliau amat berharap momentum baik pada musim lalu dapat diteruskan.
Di bawah kendalian jurulatih baharu, Christophe Gamel, Baqiuddin akui situasi itu juga menjadi satu cabaran berbeza dalam memikat hati pengendali dari Perancis berkenaan.
“Sukar untuk saya perkatakan peluang bermain pada musim ini kerana ramai pemain baharu diambil Sri Pahang termasuk pemain import selain tiga ke empat pemain kacukan,” ujar pemain berusia 27 tahun ini.
Evolusi Baqiuddin Dari Budak Lipis Kepada Bintang Utama Sri Pahang
“Boleh dikatakan skuad Sri Pahang kali ini sangat berbeza dari musim lalu kerana hampir semua posisi, kami ada ramai pemain berkualiti.
“Biarpun di posisi saya iaitu sayap kiri terdiri ramai pemain tempatan, mereka juga pasti mahu merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Sudah pasti jurulatih baharu akan menilai kemampuan semua pemain dalam pasukan dalam tempoh pra musim dan saya perlu bersungguh-sungguh jika mahu menambat hati beliau.
Musim ini Sri Pahang diperkuatkan dengan beberapa pemain import yang berprofil tinggi. Tiga daripadanya pernah beraksi di liga utama Perancis, Ligue 1 iaitu Mamadou Samassa, Billy Ketkeophomphone dan Johan Martial.
Mereka turut menyambar penyerang Jordan Mahmoud Za’tara selain mengekal pemain sayap Argentina Manuel Hidalgo yang menyerlah pada musim lalu. Dua pemain Lee Tuck serta Sergio Aguero pula kini dalam proses untuk dinaturalisasikan.
Tiga pemain kacukan adalah David Rowley, Nick Swirad dan Sean Giannelli. Manakalah pemain tempatan baharu yang menyeratai skuad Tok Gajah adalah Fandi Othman, Faizal Arif dan Azwan Aripin.
Karier Baqiuddin pada musim lalu dianggap berada di puncak edengan tampil dalam 27 perlawanan serta menjaringkan dua gol dalam semua pertandingan. Sedangkan sebelum ini beliau sekadar di Liga Premier bersama Kuantan FA, PDRM dan UKM FC.
Biarpun bertubuh kecil, Baqiuddin memikat ramai peminat Sri Pahang FC dengan kepantasan serta kelincahannya yang sentiasa menyukarkan pihak lawan.
Baqiuddin Gembira Diberi Kepercayaan Jadi Watak Utama Sri Pahang
Sementara itu, Baqiuddin berkata bekerja dengan Gamel banyak memberikan pengalaman baharu selain melihat kehadirannya di Pahang sejak musim lalu melatih skuad Piala Presiden, memberikan kelebihan buat beliau memahami bola sepak tempatan.
“Dia memang seorang yang begitu tegas dengan pemain tetapi mudah didekati, mungkin pengalaman setahun selama di sini memudahkannya faham budaya bola sepak Malaysia,” tambahnya lagi.
“Saya rasa beliau mampu membawa Sri Pahang ke tahap lebih baik pada musim ini selepas menamatkan kedudukan di tempat ke-10 Liga Super dan peringkat kumpulan Piala Malaysia.
“Harapan utama saya ialah mahu mendapatkan satu piala musim ini dengan Sri Pahang, tidak kisah sama ada Liga Super, Piala FA atau Piala Malaysia, mungkin musim ini ad peluang, ” katanya.
Setakat ini Pahang masih belum mencatat keputusan memberangsangkan dalam aksi pra-musim. Terbaharu mereka seri 2-2 menentang pasukan Liga Premier, PDRM di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu.