Terengganu secara rasminya telah pun menandatangani pemain dari Nigeria iaitu Ismaheel Akinade beberapa minggu lalu sebagai rekrut import baharu di posisi serangan.
Kehadiran Akinade menjadikan kini Terengganu mempunyai dua orang penyerang import yang dilihat bersedia untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.
Untuk rekod, Akinade beraksi untuk Kelantan The Red Warriors (TRW) pada awal tahun 2023 sebelum beliau ditandatangani Kelantan United pada pertengahan musim pula.
Secara keseluruhan, penyerang ini tampil dengan rekod cukup positif apabila beliau meledak 10 gol bersama enam bantuan jaringan secara keseluruhan daripada 25 perlawanan dihadapi.
Tidak hanya berpaksikan kepada jumlah gol, Akinade juga memiliki aspek cukup tinggi untuk membantu rakan sepasukan lain mendapatkan jaringan menerusi daya kreativiti dimilikinya.
Maka ia dianggap sebagai suatu kelebihan cukup baik buat Sang Penyu musim ini untuk menggunakan kelebihan dimiliki Akinade bagi mempertajamkan lagi aspek serangan mereka.
Pada masa sama, Terengganu turut bertindak mengekalkan penyerang berbisa mereka pada tahun lalu dari Croatia iaitu Ivan Mamut sebagai pertaruhan seterusnya selain Akinade.
Tampil berbisa serta kerap dijadikan pilihan utama di posisi serangan musim lalu, pastinya Mamut enggan melepaskannya kepada Akinade pada saingan ini.
Ulas Mamut, kehadiran Akinade boleh dianggap sebagai suatu nilai tambah terbaik buat Terengganu untuk memberi impak positif di posisi serangan mereka.
“Penyerang dari Nigeria itu seorang pemain bagus dan berkualiti sebagaimana ditampilkan ketika bersama bekas pasukannya pada musim lalu.
“Jadi saya melihat kehadirannya bukan sahaja mampu memperkasakan lagi pasukan, malah bakal memberikan saingan lebih sengit kepada saya untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
“Saya harap sesiapapun datang ke sini (TFC) mampu membantu untuk melonjakkan lagi pencapaian pasukan pada musim ini,” kata Mamut menerusi Harian Metro.
Pada masa sama, Mamut juga memiliki azam tersendiri untuk membantu Sang Penyu meraih satu kejuaraan di pentas domestik pada musim ini.
“Secara peribadi saya harap kita akan buat lebih baik berbanding musim lalu, musim lepas juga sangat bagus dengan berjaya mara ke final, tapi kurang menyerlah dalam saingan Liga Super.
“Kini memasuki musim kedua bersama TFC, saya lebih bersedia dan pastinya akan bagi yang terbaik dalam setiap perlawanan tidak kira saingan apapun dan pada masa sama mengharapkan rakan sepasukan mempunyai keazaman sama,” katanya akhir sekali.