Kehadiran Akhyar & Safawi Mampu Pertajamkan Lagi Aspek Serangan Terengganu

Dua bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Akhyar Rashid dan Safawi Rasid sah menjadi antara pemain yang akan dipinjamkan pasukan tersebut untuk saingan musim hadapan.

Sebelum itu, Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, dan Haziq Nadzli juga dilaporkan secara rasmi turut akan dipinjamkan JDT untuk saingan musim hadapan dengan menyertai kelab baharu.

Laporan terbaharu menyatakan dua pemain JDT iaitu Akhyar dan Safawi sah akan menyertai Terengganu secara status pinjaman pada musim hadapan untuk memperkukuhkan aspek serangan kelab tersebut.

Perkara tersebut diumumkan sendiri menerusi wartawan Astro Arena iaitu Zulhelmi Zainal Azam mengenai dua status pemain tersebut untuk saingan musim hadapan menerusi X.

Umum mengetahui Terengganu bakal membuat sedikit rombakan pada musim hadapan dengan pemain sayap import mereka iaitu Sony Norde antara tidak akan kekal bersama Sang Penyu lagi.

Kehadiran Akhyar dan Safawi dilihat sebagai sesuatu yang tepat kini buat Tomislav Steinbruckner, selepas posisi sayap Terengganu jelas tidak begitu menyerlah pada musim ini.

Aspek kelincahan Akhyar Rashid ditagih

Kelibat Akhyar sebenarnya paling mencuri tumpuan sebenarnya, kerana tiada siapa menjangkakan JDT akan melepaskan pemain lincah tersebut secara pinjaman bagi saingan hadapan.

Secara keseluruhan, Akhyar telah pun meledak lima gol pada musim ini bersama tiga bantuan jaringan untuk JDT walaupun lebih banyak bermula di bangku simpanan.

Kelebihan Akhyar daripada segi kelincahan serta kreativiti di hadapan jaringan pastinya akan menjadi sesuatu sangat penting untuk Steinbruckner menyusun strategi lebih ampuh bagi menggantikan kelibat Sony Norde.

Malah, untuk pentas antarabangsa tahun ini sahaja menyaksikan Akhyar seimbang meledak dua jaringan bersama dua bantuan gol untuk Harimau Malaya.

Ketajaman dan kreativiti Safawi masih ampuh

Musim ini mungkin menjadi sesuatu yang sukar sebenarnya buat Safawi bersama JDT untuk cuba mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Apapun, ini mungkin menjadi detik kebangkitan kembali buat pemain kebangsaan itu bersama Terengganu jika Steinbruckner bijak menggunakan kelebihan dimiliki oleh Safawi.

Selain bertindak selaku pemain sayap kanan, Safawi juga efektif untuk beroperasi di posisi tengah serangan menerusi kreativiti dimiliki beliau selain tajam menghidu peluang gol.

Kelebihan Safawi untuk mengambil sepakan percuma dengan tepat juga bakal menjadikan beliau selaku aset penting buat Terengganu pada saingan hadapan.

Akhyar & Safawi mampu julang nama Ivan Mamut

Seperti diketahui, kedua pemain ini sangat kreatif untuk mendapatkan gol serta berupaya membuka lebih banyak ruang buat penyerang utama kelab mendapatkan jaringan.

Ianya sudah pun dibuktikan ketika mereka beraksi bersama JDT dan skuad kebangsaan, dan sudah tentu kali ini sumbangan Akhyar dan Safawi ditagih pula untuk membantu Ivan Mamut mendapatkan gol.

Mamut yang menandatangani kontrak lanjutan bersama Terengganu pada musim hadapan dijangka akan bergandingan bersama Akhyar dan Safawi di jentera serangan utama.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN