Keganasan Bola Sepak Indonesia Dari Kaca Mata Jackmania & Kisah Rojali Dari ‘Gheto Jakarta’

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) telah mengumumkan pergantungan sementara liga domestik di negara berkenaan selepas kematian salah seorang penyokong.

Haringga Sirla, berusia 23 tahun ialah seorang penyokong Persija Jakarta. Beliau maut selepas dipukul teruk oleh sekumpulan penyokong Persib Bandung di luar Stadium Bandung Lautan Api, menjelang pertemuan kedua-dua pasukan.

Indonesian policemen escort eights suspects of supporters of Bandung football following a violence beating to a Persija supporter one day earlier, in Bandung on September 24, 2018. –  (Photo by STR / AFP) (Photo credit should read STR/AFP/Getty Images)

Sehubungan dengan itu, kejadian tersebut telah mengundang campur tangan kerajaan melalui Menteri Sukan Indonesia, Imam Nahrawi yang mengarahkan siasatan turut dijalankan serta merta, sekaligus mencari penyelesaian kepada keganasan bola sepak di negara berkenaan.

SOS

Sejak pergantungan bola sepak Indonesia ditamatkan oleh FIFA berikutan masalah pentadbiran liga domestik di negara tersebut, sebuah gerakan NGO digelar Save Our Soccer (SOS), lantang melahirkan kebimbangan mengenai masalah keganasan di dalam sukan itu di negara tersebut.

Pada pendapat SOS, keganasan bola sepak di Indonesia sudah berada di paras kritikal.

Akmal Marhali, Koordinator SOS.

Menurut kajian SOS, sejak liga bola sepak domestik diperkenalkan pada 1993-1994, sekurang-kurangnya 54 kes kematian direkodkan.

Jumlah kes ini tidak boleh dipandang ringan dan tidak boleh dikategorikan sebagai kebetulan.

Koordinator SOS, Akmal Marhali bertanggapan ianya adalah sesuatu yang tidak berasas apabila menonton bola sepak terpaksa dibayar dengan harga yang mahal seperti nyawa manusia.

Perseteruan Persija Jakarta dan Persib Bandung

Menyingkap sejarah perseteruan dan keganasan melibatkan penyokong Persija Jakarta dan Persib Bandung, Marhali mempunyai beberapa penjelasan.

“Kedua-dua pasukan mempunyai kumpulan yang fanatik, dan sudah tentu ia membuatkan perseteruan kedua-dua pasukan sentiasa tegang setiap kali bertemu,” ujar Marhali.

Penyokong bola sepak di Indonesia turut dikatakan dipengaruhi oleh budaya bola sepak di eropah, yang sejak kebelakangan ini turut bergelut dengan isu keganasan seperti di Rusia dan juga Greece.

Kumpulan penyokong Persija dikenali sebagai Jackmania. Manakala penyokong Persib dikenali sebagai Viking.

Kedua-dua kumpulan penyokong ini berpegang kepada fahaman Ultras- fahaman yang sering dikaitkan dengan keganasan di bola sepak eropah dan Amerika Latin.

Perseteruan kedua-dua kumpulan penyokong bola sepak ini sehingga kini telah meragut 7 nyawa, sejak dari 2012.

Markas kuat Jackmania

Ketika sekumpulan wartawan bola sepak The Guardian berkunjung ke Jakarta untuk melihat kisah perseteruan kedua-dua pasukan dan keganasan bola sepak, mereka melakukan temujanji dengan Jackmania.

Bagi mereka ianya tidak sukar untuk mencari markas utama Jackmania. Graffiti mengenai kebesaran kelab menghiasai setiap penjuru jalanan.

Di kalangan Jackmania, wilayah Mangarai digelar ‘Barrabrayas’, disebabkan kerana ia adalah wilayah asal usul mereka yang gemar melakukan kekacauan ketika perlawanan.

Gelaran tersebut diambil dari kumpulan ‘hooligan’ bola sepak di Amerika Latin.

Artikel ini merungkai kisah keganasan bola sepak Indonesia di kaca mata Jackmania.

Ghetto Jakarta

Ghetto adalah sebuah perkataan yang berasal dari Itali. Ia merujuk kepada sebuah wilayah yang diasingkan.

Di kalangan penduduk Indonesia, Manggarai digelar sebagai ‘Ghetto Jakarta’. Ia adalah sebuah wilayah yang memiliki kepadatan penduduk yang tinggi, dengan kadar pengangguran yang tinggi.

Pergaduhan, rusuhan atau dikenali sebagai ‘tawuran’ di kalangan penduduk tempatan sering kali berlaku di sini atas pelbagai sebab termasuk desakan hidup.

Beberapa tahun lalu, pihak polis terpaksa membina pagar besi untuk memisahkan Manggarai demi mengelakkan pergaduhan anak muda di wilayah tersebut.

Ianya adalah kebiasaan bagi anak muda di Mangarai saling membaling batu atau apa sahaja yang boleh mencederakan lawan melepasi tembok tersebut.

Dan amalan tersebut seolah-olah seperti terbawa ke arena bola sepak setiap kali perlawanan membabitkan pasukan mereka.

Rombongan The Jak Liar

“Ini adalah sebuah wilayah yang dipenuhi dengan keganasan, tanpa atau dengan kehadiran Jackmania,” ujar Herdian Lesmana sambil tertawa ketika ditanya oleh wartawan The Guardian.

Uban (bukan nama sebenar) bertanggungjawab dalam segala hal urusan Jackmania di situ. Antaranya ialah menganjurkan mesyuarat, dan menyediakan pengangkutan untuk ratusan penyokong yang mahu bertandang untuk menghadiri perlawanan membabitkan Persija.


Dalam erti kata lain, Uban ialah koordinator Jackmania di Manngarai

“Kami sedar ramai penyokong Persija sering menimbulkan kekecohan,” ujar Uban.

“Kami sering bergelut untuk mengawal emosi anggota kami, tetapi ianya sukar untuk dilakukan,” tambah beliau.

Uban bagaimanapun berpendapat Jackmania tidak seharusnya dituding jari setiap kali ada insiden yang berlaku.

Menurut Uban, daripada puluhan ribu penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan membabitkan Persija, hanya segelintir yang benar-benar berdaftar dengan Jackmania.

(Photo by Dasril Roszandi/NurPhoto via Getty Images)

Mereka yang tidak berdaftar dikenali sebagai ‘Rojali’, singkatan kepada ‘Rombongan The Jak Liar’. Mereka ini tidak pernah membeli tiket perlawanan.

Harga satu tiket perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno ialah Rp 50,000. Jumlah itu dianggap terlalu mahal untuk kebanyakkan daripada mereka, jika dibandingkan dengan satu hidangan makanan yang boleh didapati dengan nilai Rp15,000 di warung sekitar Jakarta.

“Mereka tidak mampu memiliki tiket perlawanan,” ujar Akbar atau lebih mesra dengan panggilan Bontot.

Seperti Uban, Bontot juga adalah salah seorang koordinasi perlawanan yang dilantik oleh Jackmania.

“Maka mereka hanya boleh bernyanyi dengan riuh di luar stadium sambil menunggu masa untuk waktu ‘jebolan’,” jelas Bontot.

Jebolan merujuk kepada tempoh di mana pihak polis memutuskan untuk membuka pintu perlawanan untuk penyokong tanpa tiket.

Jebolan biasanya akan dilakukan selepas babak pertama perlawanan selesai, atau ketika polis sudah tidak boleh melakukan kawalan terhadap penyokong yang hadir.

Richard Achmad Supriyanto yang merupakan bekas pengerusi Jackmania turut mengakui ianya mustahil untuk mengawal golongan Rojali ini.

Kritikan terhadap polis

Uban turut kritikal terhadap peranan polis dalam melakukan penguatkuasaan ketika berada di dalam dan juga di luar stadium.

Uban mendakwa pihak polis sering kali menggunakan kekasaran ketika berhadapan dengan anggota Jackmania.

“Mereka akan menggunakan baton atau gas pemedih mata. Kami ini ialah penyokong bola sepak, dan bukan pengganas.

“Apabila polis menggunakan gas pemedih mata, ia sekaligus menjadi provokasi kepada penyokong untuk bertindak ganas,” ujar Uban.

ACAB

‘ACAB’ adalah acronym yang bermaksud ‘All Cops Are Bastards’. Ia adalah slogan yang ditemui di buku nota milik seorang penyokong Persija Jakarta dikenali sebagai Fahreza yang maut pada 2016.

ACAB atau turut dikenali sebagai kod 1312, mengambil kira kedudukan setiap huruf dalam susunan abjad Roman.

“Kebanyakkan ahli mejadikan terma tersebut sebagai ikutan kerana ia seperti satu trend di bola sepak eropah,” ujar Diky Soemarno yang merupakan salah seorang jurucakap Jackmania.

“Ia sukar dihalang. Ia sudah menjadi aliran dan disebarkan melalui media sosial, dan menjadi ikutan golongan remaja yang merupakan anggota Jackmania,” jelas Soemarno dengan nada bimbang.

Aksesori dan t-shirt dengan lambang ACAB amat mudah ditemui di Jakarta

Penutup

Jika mahu disingkap satu demi satu sebab kepada keganasan bola sepak di Indonesia semakin menjadi-jadi, maka kita tidak akan menemui sebarang pengakhiran.

Kejadian terbaru melibatkan Haringga Sirla harus benar-benar dijadikan pengajaran.

Di Malaysia, setiap pihak mempunyai peranan besar untuk mendidik penyokong agar kejadian serupa tidak berlaku di negara ini.

Media, persatuan dan kelab bola sepak, atau kelab penyokong, mempunyai peranan besar dalam medidik penyokong masing-masing.

#RIPHarringaSirla

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN