Kedaifan Taktikal KL City Bantu JDT Pertahankan Kejuaraan Piala FA

Johor Darul Ta'zim

Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengekalkan kejuaraan Piala FA di bumi Johor apabila unggul menewaskan  Kuala Lumpur City (KL City) menerusi keputusan 2-0.

Meskipun beraksi di hadapan ribuan penyokong Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), JDT tidak ditunjukkan jalan mudah apabila pasukan lawan berjaya menyediakan blok pertahanan kompak yang berjaya menghalang mereka daripada menjaringkan gol di separuh masa pertama.

Namun, kedegilan blok pertahanan KL City berjaya dirobohkan menerusi rembatan berkelas dunia daripada pemain tengah JDT, Nathaniel Hong Wan yang dianggap sangat berkualiti untuk mencetuskan kemenangan mereka.

Analisis kami kali ini akan menggariskan bagaimana KL City menyusun perancangan permainan mereka, dan cara JDT menunjukkan respon bagi memacu kejayaan mereka dalam pentas final Piala FA ini.

Pendekatan konservatif KL City

Seperti diduga, KL City mengambil pendekatan untuk bermain secara bertahan dengan menyusun blok pertahanan mereka menerusi blok rendah, dengan struktur 5-4-1.

Menerusi gambar di atas, salah seorang pemain tengah KL City iaitu Sebastian Avanzini telah turun dan berada diantara dua pemain pertahanan tengah pasukan, Giancarlo Gallifuoco dan Matko Zirdum bagi membentuk rantaian bek berlima pasukan.

Organisasi pertahanan ini dilaksanakan bagi meneutralkan ancaman pasukan JDT, terutamanya menerusi pemain sayap lincah mereka, Arif Aiman di bahagian sisi padang.

Bagi memastikan kelancaran organisasi pertahanan ini, KL City akan sentiasa memastikan mereka mencipta kelebihan dalam aspek jumlah pemain bagi mengawal pergerakan Arif menerusi situasi 2v1.

Merujuk kepada gambar di atas, Jordi Amat melebarkan permainan dengan melakukan hantaran kepada Matthew Davies di bahagian sisi padang.

Sejurus selepas hantaran tersebut dilakukan, tugasan memberi tekanan kepada Davies dilakukan oleh pemain sayap, T. Saravanan, sementara pemain pertahanan sisi, Kamal Azizi kekal di posisi asalnya bagi memberikan perhatian kepada Arif.

Giancarlo pula akan memastikan dirinya menyediakan sokongan buat Kamal dalam usaha merantai pergerakan Arif.

Kekuatan dalam aspek fizikal sedikit sebanyak memberikan kelebihan buatnya apabila berhadapan dengan Arif dalam situasi 1v1, sekali gus menjadikan kawalan terhadap pemain itu menjadi lebih berkesan.

Saravanan juga turut mempamerkan disiplin bertahan yang baik dalam memastikan kelebihan 2v1 ini sentiasa dikenakan terhadap Arif.

JDT mengundang KL City untuk ‘menari’ di bahagian sisi padang

Menyedari kepadatan blok pertahanan pasukan lawan yang sukar ditembusi, JDT dilihat menyusun binaan serangan pasukan di bahagian sisi padang.

Pendekatan ini diambil bagi menarik keluar pemain pertahanan KL City dalam usaha mereka untuk mencipta bukaan ruang di antara barisan pertahanan lawan.

Situasi di atas merupakan gerakan awal yang membawa kepada percubaan awal JDT menerusi Afiq Fazail. Dua pemain pertahanan KL City iaitu Zirdum dan Declan Lambert telah ditarik keluar ke bahagian sisi padang sambil disokong oleh Ryan Lambert bagi mengekang kemaraan Fernando Forestieri dan Afiq Fazail.

Tindakan awal Bergson da Silva yang mengikat dua pemain pertahanan lawan telah membuka ruang yang besar buat Afiq tatkala pemain tengah JDT tersebut menerima hantaran bola daripada Forestieri.

Ia sekali gus memberikannya ruang dan masa yang mencukupi bagi melepaskan rembatan deras berkualiti, namun percubaan ini dinafikan oleh palang gol.

JDT meningkatkan intensiti permainan di separuh masa kedua

Sebaik sahaja separuh masa kedua dimulakan, JDT telah meningkatkan lagi intensiti permainan mereka bagi menekan pasukan lawan.

Kepantasan pengedaran bola sedikit sebanyak berjaya meletihkan pemain KL City, terutamanya ketika mereka melakukan tugasan shifting bagi mengimbangi pengedaran bola serta kedudukan pemain lawan.

Situasi ini sekali gus berjaya mencipta bukaan ruang yang berjaya membantu kepada jaringan gol pertama JDT menerusi rembatan cantik Hong Wan.

Situasi di atas merupakan antara detik awal sebelum gol tersebut dijaringkan. Romel Morales tidak berada di kedudukan yang ideal, dan kelihatan Akram Mahinan cuba mengarahkan rakan sepasukannya itu untuk berada di posisi yang sepatutnya bagi memberikan kawalan kepada Hong Wan.

Kedudukan yang tidak ideal ini mengakibatkan bukaan ruang di antara Romel dan juga Akram tatkala Hong Wan menerima hantaran bola. Kedudukan Paulo Josue juga sedikit jauh bagi membantu menambah tekanan kepada Hong Wan.

Ia sekali gus memberikan Hong Wan ruang dan masa yang mencukupi bagi melepaskan rembatan padu berkelas dunia untuk meletakkan JDT di hadapan.

JDT berada di kelas tersendiri

Intensiti permainan yang tinggi, serta kemampuan JDT dalam mengekalkan tempo permainan untuk tempoh masa yang panjang jelas menunjukkan Harimau Selatan telah jauh meninggalkan pesaing domestik mereka.

Ketiadaan variasi taktikal serta pendekatan permainan daripada KL City turut memudahkan JDT untuk mendominasi perlawanan ini.

Malah, magis yang dipamerkan oleh penjaga gol JDT, Syihan Hazmi yang berjaya menepis dua percubaan berbahaya daripada KL City di separuh masa pertama juga menjadi antara detik yang memisahkan kedua-dua pasukan dalam aksi final ini.

JDT dijangka bakal menambah satu lagi trofi, apabila dilihat tidak mempunyai sebarang masalah bagi mengekalkan kejuaraan Liga Super meskipun perjalanan liga masih jauh untuk ditamatkan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN