Kedah Darul Aman (Kedah) nampaknya mengambil inisiatif yang sangat menarik pada penghujung Ogos ini memandangkan aksi Liga Malaysia (Liga M) berehat seketika sehingga ke September akan datang.
Demi mengisi kekosongan tarikh yang ada kini, skuad kendalian Nafuzi Zain bakal menghadapi dua aksi berturut-turut menentang wakil kelab dari saingan Liga 1 Indonesia iaitu Malut United.
Menerusi perkongsian dibuat oleh laman rasmi Kedah, kelab itu bakal menghadapi aksi persahabatan bermula pada 28 Ogos secara tertutup dan 30 Ogos di Stadium Darul Aman, Alor Setar bersamaan hari Jumaat pada jam 8:45 malam.
“Kedah Darul Aman FC dengan bangganya mempersembahkan Nusantara Challenge 2024, sebuah kejohanan bola sepak persahabatan bertaraf antarabangsa yang akan menemukan pasukan dari rantau Nusantara.
“Kejohanan ini dijadualkan berlangsung pada 28 Ogos 2024 (Perlawanan Latihan Tertutup) dan 30 Ogos 2024 (Perlawanan Utama – Persahabatan Antarabangsa Tier 2) di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah, Malaysia.
“Kejohanan yang julung kali dianjurkan ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik dan kesukanan di antara negara-negara Nusantara, di samping merayakan keunikan dan kekayaan warisan budaya yang dikongsi bersama.
“Nusantara Challenge 2024 bukan sekadar sebuah perlawanan bola sepak, tetapi juga lambang perpaduan dan kebangkitan semangat serantau yang telah lama terjalin di Asia Tenggara.
Nusantara Challenge 2024 adalah platform untuk mempamerkan bakat bola sepak dan menjalin kerjasama erat di kalangan negara-negara jiran di rantau ASEAN.
“Untuk edisi sulung ini, Nusantara Challenge 2024 menampilkan pasukan tuan rumah, Kedah Darul Aman FC (Liga Super Malaysia), serta pasukan jemputan Malut United FC – Maluku Utara United FC (BRI Liga 1) dari Indonesia. Kejohanan ini dijangka akan membawa pengalaman bola sepak yang penuh dengan aksi mendebarkan dan mempamerkan bakat-bakat terbaik dari rantau ini.
“Selain itu, Bulan Ogos tahun ini membawa makna yang lebih mendalam dengan penganjuran Nusantara Challenge 2024. Bersempena dengan sambutan kemerdekaan Malaysia dan Indonesia, acara ini bukan sekadar satu pertandingan, tetapi satu platform untuk menyatukan semangat kebangsaan kedua-dua negara.
“Nusantara Challenge 2024 memperlihatkan perpaduan dan persaudaraan antara Malaysia dan Indonesia, dua negara yang berkongsi sejarah dan budaya yang kaya. Di tengah-tengah cabaran dan persaingan, kita meraikan nilai-nilai kebebasan, keberanian, dan ketekunan yang telah membentuk identiti kita sebagai bangsa merdeka.
“Laungan “Merdeka!” dan “Dirgahayu!” akan berkumandang dengan lebih kuat dalam setiap perlawanan, sebagai simbol perpaduan yang kukuh dan semangat kebangsaan yang tidak pernah pudar. Melalui Nusantara Challenge 2024, kita bukan sahaja mengingati sejarah perjuangan, tetapi juga merintis jalan untuk masa depan yang lebih gemilang bagi Malaysia dan Indonesia,” jelas kenyataan tersebut.
Pada masa sama, Shahrul Shamsuddin selaku pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) turut menganggap saingan ini dapat mengukuhkan hubungan sukan antara negara-negara serantau melalui platform bola sepak
“Nusantara Challenge 2024 adalah sebuah inisiatif penting dalam usaha memperkukuhkan hubungan sukan antara negara-negara serantau melalui platform bolasepak.
“Kejohanan ini bukan sahaja menyediakan peluang kepada pemain untuk bersaing di peringkat tertinggi, tetapi juga menjadi platform untuk mempromosikan tempat-tempat pelancongan menarik sempena Tahun Melawat Kedah 2025 serta menjalin nilai-nilai persahabatan, kerjasama, dan kesatuan dalam kalangan masyarakat Nusantara.
“Kami berharap kejohanan ini akan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh semua peminat bola sepak khususnya dan masyarakat lain secara amnya,” ujar beliau.
Untuk info, Malut United adalah sebuah pasukan bola sepak yang baharu sahaja dibentuk pada bulan Mei 2023. Pasukan sedang meningkat naik dari Indonesia ini berpusat di Maluku Utara dan telah menunjukkan peningkatan prestasi yang konsisten untuk layak ke Liga 1 Indonesia dalam tahun pertama mereka bermain di Liga 2 Indonesia serta kelab tersebut ditubuhkan.
Antara bintang kelab tersebut merupakan pemain kebangsaan Sang Garuda iaitu Yance Sayuri bersama Yakob Sayuri, Manahati Lestusen serta bintang import dari Eropah, Adriano Castanheria.
Selain itu, beberapa aktiviti sampingan turut diadakan buat para peminat seperti Klinik Bola Sepak, sesi bertemu pemain, serta pameran.
Tiket jualan buat peminat pula bakal terbahagi kepada beberapa peringkat dengan paling menarik sekali ialah pakej premium yang berharga RM100 dengan beberapa tawaran dan cenderahati turut diberikan.