Kedah FA Terpalit Isu Tunggakan Gaji, Risiko Disingkir Dari Piala AFC

Juara Piala FA 2017, Kedah berhadapan dengan kemungkinan untuk tidak dibenarkan beraksi dalam kejohanan Piala AFC pada musim hadapan selepas ESPN FC melaporkan dalam satu artikel bahawa Persatuan Bola Sepak Kedah gagal melunaskan tunggakan gaji kepada bekas jurulatih, David Mitchell.

Bekas pemain antarabangsa Australia itu pernah melatih pasukan Kedah selama 3 bulan pada permulaan musim 2014. Mitchell membawa kes beliau kepada FIFA selepas Kedah gagal membayar pampasan berjumlah US$100,000 selepas dilepaskan daripada tugasannya pada April tahun yang sama.

Kredit: Pemilik Gambar

Keputusan FIFA memihak kepada bekas penyerang Selangor berusia 55 tahun itu.

Namun sehingga kini, Kedah dikatakan belum melengkapkan pembayaran walaupun sudah diarahkan berbuat demikian oleh peguam, dan sudah melangkau tempoh yang diberikan oleh wakil perundangan Mitchell.

Keberhutangan yang ditanggung oleh Persatuan Bola Sepak Kedah ini boleh menyebabkan pembabitan pasukan Kedah di dalam pertandingan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tergugat.

Badan bola sepak Asia itu mahukan pengurusan kewangan yang teratur dari setiap kelab yang mengambil bahagian dalam pertandingan anjurannya.

Setiap kelab yang melayakkan diri ke pertandingan AFC Champions League- kejohanan terulung peringkat kelab di benua Asia, diarahkan untuk menjelaskan segala tunggakan menjelang 31 Ogos tahun ini.

Peraturan yang sama juga digunapakai untuk setiap pasukan yang mengambil bahagian dalam pertandingan Piala AFC pada musim hadapan.

Kedah merupakan juara Piala Malaysia 2016.

“Kami telah cuba menjelaskan tunggakan tersebut kepada wakil David pada bulan lepas,” kata Setiausaha Persatuan Bola Sepak Kedah Datuk Aminuddin Omar (gambar bawah) kepada ESPN FC.

“Kami mengambil tahu arahan FIFA untuk menjelaskan tunggakan tersebut, namun terdapat beberapa isu berkenaan transaksi pemindahan wang berkenaan kepada wakil David.”

“Pihak kami masih berhutang sehingga 5 hingga 6 bulan bayaran gaji, dan mahu menjelaskan semua tunggakan. Namun kami perlu menyelesaikan isu transaksi tersebut terlebih dahulu.”

Datuk Aminuddin tidak dapat mengesahkan bila pihak persatuan akan menjelaskan segala tunggakan, namun menjelang tarikh akhir 31 Ogos yang semakin hampir, masa jelas semakin suntuk untuk Kedah dengan slot dalam pertandingan Piala AFC menjadi taruhan.

Kredit: Pemilik Gambar

Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam yang bertanggungjawab mengurus perjalanan Liga Malaysia dan isu-isu serupa di Malaysia berkata pihaknya mengambil maklum dan sedang memantau perkara berkenaan.

“Kami mengikuti situasi ini dengan rapat. Sudah tentu keberhutangan ini akan menjejaskan penyertaan Kedah dalam pertandingan Piala AFC pada musim hadapan.”

“Ini adalah syarat yang digariskan oleh pihak AFC untuk memastikan setiap pasukan yang mengambil bahagian mempunyai kestabilan kewangan,” jelas Kevin.

David Mitchell yang juga merupakan bekas jurulatih Perth Glory di Australia menekankan betapa pentingnya bidang pengurusan kewangan di dalam bola sepak Malaysia.

Gambar: Norazmi Ibrahim/Asiana

Beliau dipetik sebagai berkata:

“Negara ini mempunyai ramai pemain berbakat, kumpulan penyokong yang sentiasa bersemangat, namun banyak wang dibazirkan begitu sahaja dalam bola sepak Malaysia.”

“Ia sepatutnya ditumpukan kepada bola sepak, untuk membantu lebih ramai pemain muda menjadi lebih baik dan bukan dibazirkan dengan perkara sebegini. Saya percayakan kepada kemampuan bola sepak di Malaysia. Namun pihak pengurusan harus mempertingkatkan kualiti urus tadbir.”

“Bukan itu sahaja. Ia adalah sesuatu yang menyedihkan untuk melihat sebuah pasukan bagus seperti Kedah tidak dibenarkan beraksi dalam pertandingan AFC. Saya tidak mahu itu berlaku.”

“Sebab itu adalah lebih baik untuk mereka mengikuti arahan untuk membayar segala tunggakan. Adalah perkara yang menyedihkan jika (tidak dibenarkan beraksi di Piala AFC) berlaku kerana Kedah adalah sebuah pasukan yang dihormati.

Isu tunggakan gaji dan pampasan bukanlah perkara baharu di dalam bola sepak di Liga Malaysia. Sudah tiba masanya, peraturan sedia ada diperketatkan oleh badan berkenaan untuk memastikan ia tidak berulang.

Isu tunggakan gaji David Mitchell bersama Kedah sudah berlarutan untuk beberapa musim.

Namun di sebalik kerancakkan saingan bola sepak di Malaysia serta visi FAM dan FMLLP untuk menuju penswastaan, sampai bila isu sebegini akan terus menjadi sebahagian daripada rencah yang dijadikan tajuk akhbar bola sepak kita?

Sumber:

1. Michael Church, ESPN FC (2017): Kedah face AFC Cup ban over unpaid wages to former coach David Mitchell; http://www.espnfcasia.com/kedah/story/3187165/kedah-face-afc-cup-ban-over-unpaid-wages-to-former-coach-david-mitchell

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN