Benarkah Kedah Darul Aman (Kedah) menerima tajaan daripada syarikat Forex? Persoalan yang mungkin timbul kini dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mengenai kelab tersebut.
Semalam, Dato’ Royfaizal Razali Chong telah mengeluarkan kenyataan di media sosial peribadi beliau mengenai tajaan diberikan sebanyak RM300,000 kepada Kedah, setelah pertemuan dibuat bersama pemilik pasukan tersebut iaitu Tan Sri Dr. Mohd Daud bin Bakar.
“Semalam saya telah berjumpa dengan Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, dimana beliau mencari penaja untuk Kelab Kedah Darul Aman (KDA FC).
“Saya ada terbaca juga di sosial media berkenaan dengan tunggakan gaji pemain bola tetapi pemain masih bersemangat untuk terus bermain pada masa yang sama menantikan sinar harapan daripada bakal penaja yang ada.
“Saya bukan anak jati orang Kedah. Tetapi, rezeki Allah nak bagi tahun ni saya mendapat Bintang Kebaktian Masyarakat (B.K.M.) dari Tuanku Sultan Kedah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-82 atas sokongan Canser Survivor Malaysia (CSM).
“Kemudian, saya mendapat pula sambung belajar Ijazah Kedoktoran di Universiti Utara Malaysia, Kedah. Dan semalam berjumpa pula dengan Tan Sri untuk penajaan kelab bola sepak KDA FC.
“Apabila berbual dengan Tan Sri, orangnya sangat ramah dan komited berusaha mencari penaja memberi suntikan dana kepada kelab dan dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku ketika ini.
“Secara peribadi, saya tahu RM300,000 tak mampu untuk menyelesaikan semua masalah yang ada, tetapi saya percaya ianya mampu untuk mengurangkan sedikit sambil berdoa ada lagi penaja yang tampil ke depan.
“Kepada Tan Sri, saya doakan semoga dipanjang umur dan dipermudahkan urusan. Orang seperti Tan Sri dah tak ramai di Malaysia ni.
“Kebanyakan mereka sentiasa fikir tentang apa faedah kepada diri sendiri terlebih dahulu sebelum orang lain dan ianya berbeza dengan pemikiran Tan Sri. Kepada Team Pasukan KDA FC, teruskan semangat berjuang. Jangan luntur semangat ketika diberi ujian hidup.
“Kepada penyokong tegar KDA FC, datang dan penuhkan stadium, pembelian tiket anda akan bantu meringankan lagi kemelut yang sedang melanda KDA FC.
“Insya-Allah satu hari nanti saya nak turun sendiri ke Stadium Darul Aman untuk menyaksikan secara langsung semangat juang pemain Kedah.
“Selamat berjuang, semoga terus mencapai kemenangan dan semoga Allah mempermudahkan urusan anda semua. Aminn,” ujar beliau.
Menurut Ustaz Lariba yang juga merupakan pakar perbankan Islam dan Muamalat, beliau mempersoalkan mengenai tajaan diterima Kedah daripada syarikat Forex sambil berharap Dr. Daud mampu memberi penjelasan semula.
“KEDAH FC TERIMA TAJAAN/SUMBANGAN DARI BROKER FOREX? Biar betul? Online forex trading telah difatwakan haram. Rujuk di sini http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/10293
“Harap sangat Tan Sri Dato Daud Bakar, pemilik Kedah FC beri penjelasan. Suburkan ilmu, jauhi kedangkalan. InshaAllah,” jelas beliau.
Apapun, kami di Semuanya BOLA sendiri mengambil sikap tidak menyalahkan sesiapa dengan ada kemungkinan juga dana tersebut dikeluarkan secara peribadi atau mana-mana syarikat beliau yang tidak terbabit akan Forex.
Adalah lebih baik jika Dr. Daud sendiri tampil mengeluarkan kenyataan atau ia akan mengeruhkan keadaan daripada peminat-peminat lain.