Presiden Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA), YAB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir merangkap Menteri Besar Kedah hari ini mengambil peluang manfaat kehadiran Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Mahathir Mohamad dengan menyerahkan kit jersi pasukan Liga Super Kedah dengan identiti jersi khas MAHATHIR 7.
Menurut kenyataan di laman facebook rasmi KFA, penyerahan jersi tersebut adalah sebagai tanda sokongan dan penghargaan buat Tun Mahathir.
“Dalam perbualan mengenai perkembangan bolasepak di Kedah, Tun Mahathir berbangga dengan skuad hijaukuning yang terus mengharumkan negeri Jelapang Padi di arena bolasepak Malaysia melalui kejuaraan yang dikecapi sejak musim 2015 dan melalui siri pembangunan bolasepak berterusan hasil perancangan yang rapi.
“Perjuangan Tun Mahathir walaupun di usia 93 tahun harus dicontohi dan menjadi inspirasi semua pihak untuk berusaha keras bagi memajukan bolasepak Kedah.
“Di akhir perbualan, Tun Mahathir memberi ucapan selamat maju jaya buat skuad hijaukuning untuk terus berjuang sejiwa murni dan selamat maju jaya dalam memburu kejuaraan di musim 2019,” kata kenyataan tersebut.
Selain itu, Mukhriz turut meluangkan masa bersama Tan Sri Vincent Tan pemilik pasukan Liga Premier English, Cardiff City Football Club baru-baru ini membincangkan hala tuju Projek Kerjasama Pembangunan Bolasepak antara kedua-dua pasukan melalui program latihan pemain muda bersama kelab berasal dari Wales tersebut.
Minggu lalu, KFA telah menghantar 4 pemain muda berbakat skuad hijaukuning untuk berlatih bersama Akademi Bawah 23 tahun CCFC selama sebulan. Pemain terpilih adalah Mohd Fazrul Danel Mohd Nizam, Mohamad Asri Muhammad, Mohd Suhaimie Saad dan Aminuddin Abu Bakar.
Latihan yang bermula 11 Mac lepas kini di minggu ketiga dan 4 pemain ini dijangka pulang pada 10 April nanti. Program pembangunan ini merupakan siri kedua setelah kali pertama delegasi KFA dihantar berkelana juga selama sebulan pada musim 2015.
Ketika itu, pengurusan menghantar jurulatih Victor Andrag dan 4 pemain muda Kedah iaitu Loqman Hakim Marzuki, Muhd Akhyar Rashid, Mohd Osman Yusof dan Shazuan Hazani.