Kedah menyambar dua penyerang berkaliber, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche sebagai pemain import baru bagi musim Liga Super 2020, umum Naib Presiden 1 Kedah FA, Anas Hafiz Mustaffa dalam satu sidang media di Stadium Darul Aman petang tadi.
Dua pemain ini akan menggantikan penjaring 21 gol untuk musim 2019, Fernando Rodriguez dan Jonathan Baumann yang meninggalkan skuad Helang Merah pada akhir musim lepas.
Satu lagi pemain import kuota Asia bakal menyertai Kedah dalam masa terdekat untuk menggantikan Edgar Bernhardt (Kyrgyzstan).
“Coach Aidil sedang berada di Jepun ketika ini untuk menilai pemain tengah yang dimahukannya untuk mengisi satu lagi slot import yang kosong ketika ini. Ada 2-3 calon yang sedang dipertimbangkannya iaitu pemain Jepun, Tajikistan dan Australia,” kata Anas.
6 lagi pemain tempatan baru yang bakal menyertai Kedah untuk musim 2020 nanti adalah:
- Shahril Saari (GK, PDRM FA)
- Irfan Zakaria (CB/DM, Kuala Lumpur FA)
- Hadin Azman (LW/RW, Felda United)
- Zulkhairi Zulkeply (CB, UiTM FC)
- Jafri Firdaus Chew (ST, PKNS FC)
- Tam Sheang Tsung (CM, Sagan Tosu)
Anas turut mendedahkan Kedah juga sedang giat mencari seorang lagi penjaga gol tempatan untuk melengkapkan senarai 30 pemain untuk musim depan. Pemain ini akan menggantikan slot yang dikosongkan penjaga gol veteran, Abdul Hadi Abdul Hamid yang bakal bertugas sebagai jurulatih penjaga gol Kedah bermula musim depan.
Semua perpindahan masuk ini tertakluk kepada kelulusan ujian perubatan yang akan dibuat nanti.