Kedah Rasmi Lepaskan Manuel Ott Atas Persetujuan Bersama Untuk Musim Ini

Kedah Darul Aman (Kedah) secara rasminya telah pun melepaskan pemain tengah import mereka dari Filipina iaitu Manuel Ott atas persetujuan bersama untuk saingan musim akan datang.

Ianya diumumkan sendiri melalui media sosial rasmi Kedah dengan menyatakan pemain tersebut sah tidak akan bersama mereka selepas memainkan peranan penting selaku kapten Sang Kenari musim lalu.

“KDA FC dengan ini mengumumkan Manuel Ott, pemain yang memainkan peranan penting musim lepas sebagai ketua pasukan untuk pasukan Sang Kenari.

“Selepas beberapa perbincangan dan pertimbangan bersama antara pengurusan kelab dan Manuel Ott, dengan emosi bercampur-baur kami mengumumkan persetujuan bersama mengenai pemergian Manuel Ott dari KDA FC.

“Sepanjang musim ini, Manuel Ott telah mempamerkan dedikasi yang tinggi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap prestasi KDA FC.

“Persembahan luar biasa beliau di atas padang telah meninggalkan kesan yang besar di hati peminat, dan sumbangan beliau kepada keputusan perlawanan pasukan akan sentiasa diingati dengan penuh memori sebagai 4 pasukan terbaik walaupun berjuang dengan beberapa isu dalaman kelab.

“Seperti mana-mana perjalanan pemain bola sepak, peralihan adalah sebahagian dalam kerjaya seorang pemain. Keputusan ini telah dicapai dengan cara yang baik, dan kami menghormati permintaan Manuel Ott.

“KDA FC mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada beliau atas khidmatnya yang luar biasa kepada kelab.

“Semangat, kerja berpasukan, dan kepimpinannya di dalam dan di luar padang telah memberi inspirasi kepada ramai pemain muda dan peminat.

“Kenangan yang dicipta bersama akan dikenang selama-lamanya, dan kami akan sentiasa mengalu-alukan Manuel Ott dengan tangan terbuka setiap kali beliau kembali melawat KDA FC,” ujar laman tersebut.

Nama Ott bukan lagi sesuatu yang asing dalam dunia bola sepak Malaysia selepas beliau tampil buat pertama kali dalam saingan tempatan bersama Melaka United.

Pemain kebangsaan Filipina itu terus berkembang apabila beliau menjadi antara pemain tengah paling menyerlah bersama Terengganu serta merekodkan beberapa gol serta bantuan jaringan sepanjang mewakili Sang Penyu.

Musim lalu menyaksikan Ott meledak enam gol bersama lima bantuan jaringan secara keseluruhan daripada 26 perlawanan dihadapi sepanjang mewakili Kedah.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN