Peminat Gesa Kedah Selesaikan Isu Pertahanan Yang Bocor Teruk

32 gol dibolosi dalam 19 perlawanan, dengan purata hampir dua gol untuk satu perlawanan adalah satu angka yang besar buat pasukan yang berada di kelompok 5 terbaik unifi Liga Super 2018.

Statistik yang boleh dianggap buruk direkodkan oleh pasukan Kedah tetapi diselamatkan dengan jumlah jaringan yang besar iaitu 35 gol, kedua tertinggi dalam kelompok 5 terbaik liga.

Menurut laporan Harian Metro, perkara ini menimbulkan keresahan dikalangan para penyokong disamping kekalahan kedua berturut-turut yang dialami pasukan ketika ini.

“Kedah menghasilkan 35 gol, kedua terbaik di belakang JDT sebagai pasukan paling banyak menjaringkan gol (39) tapi, mereka juga antara pasukan yang paling banyak dibolosi.

“Sudah 32 gol bolos, itu membuktikan pertahanan Kedah sangat lemah. Situasi inilah yang membimbangkan kami,” jelas Presiden Jaguh Utara Fans Club (JUFC), Mohd Safarizal Mohd Sobri.

kedah

Hampir setiap perlawanan, gawang Kedah dibocori dan ketua jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff perlu memikirkan solusi segera sekiranya mahu mencabar kedudukan kedua terbaik.

Terbaru, pada 10 Julai lalu, Kedah mengalami kekalahan terbesar musim ini apabila tumbang 1-4 kepada Melaka United, diikuti dengan kekalahan 1-2 kepada JDT, Jumaat lalu.

Jika perkara ini tidak dibendung, skuad Helang Merah berkemungkinan boleh tergelincir sehingga ke kedudukan pertengahan liga dalam masa terdekat.

“Saya melihat antara puncanya adalah tahap kecergasan pemain yang gagal bertahan sehingga 90 minit perlawanan.

“Selalunya, pada 15 minit terakhir mereka kelihatan sudah keletihan dan mula hilang tumpuan,” ujar Safarizal lagi.

Memang benar apa yang diperkatakan Safarizal, kerana berdasarkan statistik, Kedah mencatatkan bolos paling banyak dalam 15 minit terakhir iaitu dengan 10 gol.

Selain itu, 15 minit sebelum berakhir babak pertama pula merekodkan bolos kedua tertinggi dengan 8 gol menjadikan jumlah keseluruhan 18 bolos di penghujung setiap babak.

kedah
kredit foto: asiana.my

Pertahanan Kedah dibarisi oleh bukan calang-calang pemain antaranya bekas pemain kebangsaan Khairul Helmi Johari, Alvaro Silva dan pemain kebangsaan, Rizal Ghazali.

“Kami tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pemain namun rasanya Nidzam lebih tahu dan perlu melakukan sesuatu yang drastik untuk mengatasi masalah ini,” tegasnya lagi.

Esok, Kedah bakal berdepan dengan pencabar kedudukan kedua terbaik liga, Terengganu FC di laman sendiri dan seterusnya Perak (22 Julai) dan terakhir berdepan PKNP FC (29 Julai).

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN