Selepas berita pengesahan kemasukan Kpah Sherman dan Kipre Tchetche sebagai penyerang baru, penyokong Kedah mempunyai satu lagi sebab untuk berasa optimistik dengan musim 2020 apabila kemungkinan Qatar Airways menjadi penaja utama pasukan mereka tidak ditolak oleh pengurusan pasukan.
Bercakap dalam satu sidang media di Stadium Darul Aman petang tadi, Naib Presiden 1 Kedah FA, Anas Hafiz Mustaffa mendedahkan rundingan Kedah dengan Qatar Airways masih lagi dalam peringkat perbincangan.
“Proposal [Kedah] pada awalnya telah ditolak [oleh Qatar Airways]. Tetapi selepas kita meneliti semula proposal dan memperbaikinya, kita sekarang sedang berada dalam peringkat perbincangan lanjutan,” dedah Anas.
“Saya cuma nak kata – saya mengiya pun tidak, menidak pun tidak.”
Berita kemungkinan Qatar Airways bakal menjadi penaja Kedah untuk musim 2020 itu menjadi semakin kencang berikutan gambar presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dilihat sedang berada di Qatar ketika ini.
Mukhriz dilihat menghadiri perlawanan pembukaan Arabian Gulf Cup antara tuan rumah, Qatar dengan Iraq semalam. Dalam perlawanan tersebut, Iraq muncul pemenang 2-1 hasil dua jaringan Qasim Majid.