Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Sultanah Kedah Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis santapan malam meraikan pasukan bola sepak Kedah yang menjuarai Piala FA 2017.
Acara tersebut dilangsungka di Dewan Santapan Istana Anak Bukit. Baginda turut diiringi Raja Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tunku Laksamana Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah.
Turut hadir sama adalah, Menteri Besar Kedag merangkap Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Sultan Abdul Halim dipersembahkan dengan trofi Piala FA oleh Pengurus pasukan Kedah iaitu Jeffry Low Han Chow dan juga kapten Khairul Helmi Johari.
Datuk Seri Ahmad Bashah, dalam ucapan beliau menyatakan kebanggaan beliau dengan kejayaan trofi ketiga ini.
Ianya dilakukan dalam masa tujuh bulan selepas skuad itu berjaya merangkul Piala Malaysia dan juga Piala Sumbangsih.
Beliau berkata lagi:
“Kejayaan ini adalah bukti betapa seriusnya KFA dalam membentuk pasukan (Kedah) yang mantap berdasarkan acuan KFA.”
“Selain itu, kejayaan sesebuah pasukan itu tidak semestinya bergantung kepada kedudukan kewangan yang mewah sahaja.”
“Ia juga bergantung kepada iltizam oleh pihak pengurusan yang berjaya mengurs pasukan secara berhemah. Selain itu, para pemain juga berjaya mempamerkan kesungguhan mereka di dalam padang dengan watak seorang juara.”
“Faktor itu yang menjadikan kita kembali gah sebagai gergasi besar di Liga Malaysia yang lain selepas agak suram pencapaiannya sejak dari musim 2009 yang lalu.”
Datuk Seri Ahmad Bashah juga menyatakan pihak KFA memandang serius pembangunan akar umbi serta kebajikan para pemain, pegawai serta para penyokong setia Lang Merah.
Beliau juga gembira dengan kejayaan Kedah untuk mara ke Piala AFC 2018 setelah menjuarai Piala FA 2017.
Ia menjadi satu lagi cabaran untuk KFA terus mengorak langkah bersama pasukan Kedah di peringkat lebih tinggi.
Majlis tersebut kemudiannya diteruskan kepada acara penyerahan bonus RM20,000 kepada setiap pemain serta pegawai dan staf KFA. Acara tersebut disempurnakan oleh Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.