Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengesahkan melalui media rasmi mereka yang Kedah akan melalui tiga perlawanan liga tanpa kelibat maestro mereka, Liridon Krasniqi.
Kecederaan tersebut dialami oleh Pemain Terbaik Liga Super Bulan Mei itu ketika beraksi menentang PKNS FC untuk saingan liga di Stadium Darul Aman pada 25 Jun yang lalu.
Dia dilihat tidak menyertai sesi latihan bersama rakan-rakan dan hanya berada di tepi padang. Turut dimaklumkan bahawa kecederaan ini akan mengambil sedikit masa untuk pulih.
Dalam misi untuk mengejar kedudukan kedua liga, Kedah akan melalui perlawanan menentang Melaka United, JDT dan Terengganu FC tanpa kehadirannya di padang.
Liridon juga dilihat memuat naik status kecederaannya di akaun Instagramnya dan mengesahkan kenyataan pihak pengurusan yang ia akan mengambil sedikit masa untuk pulih.
Dia berharap yang dia akan cepat pulih untuk Piala Malaysia dan juga sempat mengucapkan selamat maju jaya buat rakan-rakan sepasukan untuk baki saingan liga musim ini.
Walaubagaimanapun, mungkin khabar yang sedikit melegakan para penyokong Hijau Kuning apabila pasangan Liridon iaitu Sandro dimaklumkan telah mula menjalani latihan.
Sandro yang tidak beraksi baru-baru ini dikatakan baru sahaja pulih daripada kecederaan kaki yang dialaminya ketika aksi menentang Kuala Lumpur pada penghujung Jun lalu.
Jika dia gagal cergas sepenuhnya, pihak pengurusan pasukan terutamanya ketua jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff pasti akan menyenaraikan pemain tempatan di posisi tersebut.
Antara pemain yang boleh disandarkan harapan untuk menggerak jentera tengah adalah Baddrol Bakhtiar, Akram Mahinan, Amirul Hisyam Awang Kechik atau Halim Shaari.
“Kita berharap beliau menjalani proses pemulihan dengan lebih cepat dengan sokongan semua pegawai perubatan dan mampu beraksi pada perlawanan seterusnya seperti dirancang.
“Saya bagaimanapun terpaksa menghadapi apa juga kemungkinan dengan melakukan pertukaran pemain sedia ada,” jelas Nidzam Adzha kepada Berita Harian, semalam.
“Kita tetap optimis pemain yang diganti nanti mampu memberi sumbangan yang berkesan untuk kekuatan pasukan,” tambahnya lagi sambil menyatakan akan melakukan sedikit perubahan.
Kedah kini sudah melalui tiga perlawanan tanpa kalah dan berada di kedudukan ketiga liga, satu mata dipisahkan daripada Perak yang menduduki posisi kedua liga dengan 31 mata.