Kedah Darul Aman (Kedah) berdepan misi sukar pada malam ini untuk berdepan Kuala Lumpur City (KL City) bagi aksi Liga Super 2023 dalam misi mereka untuk mendapatkan tiga mata penting di gelanggang lawan.
Apa tidaknya, sebelum itu Sang Kenari sah kehilangan khidmat empat pemain utama mereka iaitu Manuel Hidalgo, J. Partiban, Ariff Farhan, serta bintang muda meningkat naik, Kamil Akmal.
Lebih meresahkan kini pastinya ketiadaan Hidalgo dianggap kunci kekuatan mereka bakal memberi kesan besar buat pasukan tersebut untuk merencana serangan ketika berdepan KL City yang memiliki rantaian pertahanan berkualiti.
Hidalgo boleh dianggap sebagai pemain sangat penting buat kekuatan Kedah musim ini menerusi kreativiti serta kualiti individu miliknya sangat tinggi untuk melancarkan serangan pasukan tersebut.
Malah, pemain dari Argentina ini menjadi penyumbang paling besar buat bantuan gol Kedah sehingga kini dan ketiadaan Hidalgo pastinya akan dirasai malam esok ketika berdepan KL City.
Hidalgo tidak dapat digunakan pada malam ini kerana beliau dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kaki, manakala Kamil Akmal bersama Ariff Farhan masing-masing menjalani hukuman penggantungan.
J. Partiban pula tidak dapat digunakan khidmat beliau kerana Kedah bakal beraksi menentang bekas pasukannya iaitu KL City kerana pemain tersebut masih berstatus pinjaman.
Sang Kenari setakat ini pastinya memerlukan suntikan moral cukup besar untuk melakar kemenangan berharga bagi memburu slot ke saingan Asia pada musim hadapan.
Apatah lagi, mereka masih juga baru mencatat kekalahan dalam aksi suku akhir pertama Challenge Cup di tangan Kuching City menerusi keputusan penuh 0-1.
Rombakan sudah tentu akan dibuat Nafuzi Zain bagi perlawanan malam ini dengan jangkaan Fayadh Zulkifli akan dibawa masuk untuk mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Hidalgo.
Malah, Nafuzi juga berkemungkinan akan menggunakan kembali khidmat Jonathan Balotelli untuk slot import antarabangsa ditinggalkan pemain lincah itu bagi berpasangan bersama Ifedayo Olusegun.
🔰 MATCHDAY 🔰
Pulun Kedah Pulun! 🔥
🏆 LS 22 | Liga Super 2023
🆚 KL City FC
📆 30 September 2023, Sabtu
🕖 9.00 malam
🏟️ Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras📡 Siaran langsung di Astro 803 & Astro GO pic.twitter.com/K1MBWh1xgh
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) September 30, 2023
Kedah kini tidak lagi boleh untuk keciciran sebarang mata kerana persaingan liga sudah pun menghampiri garisan penamat, selain perbezaan mata mereka bersama Sabah serta Pahang juga tidak jauh bagi dipintas.
Malah, kekuatan semasa KL City kini juga berada dalam keadaan cukup baik bawah kendalian Nenad Bacina, serta mereka juga tidak ingin kehilangan sebarang mata di gelanggang sendiri.