Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tetap berkeras mahu membawa isu perpindahan kontroversi yang melibatkan bintang muda mereka, Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Untuk tujuan tersebut, mereka telah melancarkan tabung khas bagi menampung kos pihak pengurusan untuk memastikan kes tersebut dibawa ke muka pengadilan.
Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata kepada Harian Metro semalam, pihaknya sudah ada barisan peguam sendiri biarpun terdapat peguam sukan tempatan yang berkata peluang KFA untuk menang kes tersebut adalah tipis jika dibawa ke FIFA dan CAS.
“Saya ucapkan terima kasih kepada peguam di luar sana yang mengambil berat tentang kemelut yang melanda KFA berhubung isu Akhyar.
“KFA ada barisan peguam sendiri untuk membawa kes ini ke FIFA atau CAS kerana kami ada asas kukuh untuk mengheretnya dan kami tetap konsisten dengan keputusan itu.
“Jika kosnya mahal, kami akan lancarkan tabung khas seperti Tabung Harapan yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat untuk membantu meringankan beban kewangan kerajaan,” katanya.
Menurut kenyataan daripada laman facebook rasmi KFA, semua derma dan sumbangan secara sukarela boleh disalurkan melalui cek dan ‘online banking’ kepada PERSATUAN BOLASEPAK KEDAH DARUL AMAN dengan menggunakan no akaun CIMB Bank (8601650568).
Selain itu, mereka juga memaklumkan sebarang surat-menyurat boleh menghantar emel ke [email protected]
Asmirul turut berkata terdapat beberapa syarikat yang sudi memberikan sumbangan supaya segala kelemahan dalam sistem perpindahan bola sepak Liga Malaysia dapat didedahkan kepada para penyokong.
“Saya yakin itu tidak menjadi masalah, seorang seringgit pun jadilah. Syarikat pun banyak yang nak bantu sebab kerana kita mahu mendedahkan wujudnya kelompong dalam sistem bola sepak kita supaya diketahui umum dan akhirnya dapat diperbaiki.
“Soal kalah atau menang perkara kedua. Perkara paling utama ialah soal integriti dan telus dalam menguruskan hal-hal berkaitan bola sepak. Perlu diingat, bola sepak bukan milik mana-mana individu, tetapi ia adalah milik rakyat dan harus dikembalikan kepada rakyat,” jelasnya.