Kedah Darul Aman (KDA) dijangka meneruskan aksi persaingan mereka musim ini dengan berbaki empat import sahaja setelah salah seorang daripada mereka iaitu Marc Vales, tonggak pertahanan dari Andorra itu mengesahkannya semalam.
Berita itu disahkan beliau di laman rasmi media sosial miliknya setelah Vales mengucapkan selamat tinggal buat kelab itu dengan alasan yang telah dinyatakan sendiri oleh pemain tersebut.
Vales merupakan salah seorang import KDA yang menjadi rekrut terbaharu kelab tersebut musim ini di posisi pertahanan bagi menggantikan khidmat pemain import musim lalu iaitu Renan Alves.
Menurut kenyataan tersebut, Vales dikhabarkan terpaksa menjalani satu pembedahan kerana pertahanan tersebut sebelum ini mengalami kecederaan sejak awal musim menyertai KDA.
Beliau juga mengakui diri beliau tidak dapat memberi persembahan terbaik buat kelab diwakilinya itu dengan persembahan lebih baik kerana terganggu dengan kecederaan tersebut.
“Hari ini merupakan detik yang amat sukar buat diri saya. Saya perlu kongsikan perkara ini dengan anda semua kerana diri ini merasakan anda berhak mengetahuinya.
“Sejak hari pertama saya tiba di Malaysia, satu-satunya matlamat saya ialah untuk memberi komitmen penuh 100% bagi membalas kepercayaan yang telah diberikan kepada oleh penyokong dan kelab.
“Buat diri saya, ini merupakan sesuatu permulaan yang tidak baik untuk diri ini menyarung perisai anda ini di dada dan sekarang saya perlu berhenti.
“Saya perlu berhenti dan menjalani pembedahan yang telah menjejaskan saya kerana kecederaan dialami pada awal musim.
“Mujurlah ia tidak memakan masa yang lama untuk diri ini kembali sembuh,” jelas Vales dalam kenyataan tersebut semalam.
Vales juga mengucapkan terima kasih buat para penyokong yang tidak henti memberi sokongan kepada beliau menerusi mesej dan mengakui dirinya kuat kerana mereka.
Dalam masa sama, Vales juga mengucapkan tahniah buat KDA kerana berjaya mempamerkan rentak permainan positif sewaktu dalam saingan Piala AFC 2022 peringkat kumpulan dan mahu momentum tersebut terus dikekalkan.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih buat semua penyokong yang memberi mesej sokongan buat diri ini. Kerana anda, saya bakal kembali lebih kuat selepas ini.
“Saya juga mahu mengucapkan tahniah buat kelab kerana aksi yang sangat hebat berjaya ditampilkan sewaktu saingan Piala AFC baru-baru ini,” kata Vales.
Tanpa Vales, kini KDA bakal meneruskan aksi dengan hanya empat import sahaja serta bergantung penuh kepada tenaga tempatan di posisi pertahanan.
Namun, reaksi gandingan tempatan seperti Rodney Celvin dan Akmal Zahir juga telah menunjukkan persembahan positif sepanjang aksi di Bali lalu.
Aksi Rabu ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) bagi menentang Terengganu, gandingan tersebut bakal teruji bagi saingan pusingan kedua Piala FA 2022.