Kedah Darul Aman (Kedah) berkemungkinan bakal tampil dengan sisi kelainan pada aksi Liga Super 2024/2025 akan datang dengan perlawanan seterusnya membabitkan kelab itu menentang Kuala Lumpur City (KL City).
Sisi kelainan yang dimaksudkan itu adalah membabitkan skuad tersebut apabila Sang Kenari berkemungkinan besar bakal mempertaruhkan barisan pemain muda untuk hadapi cabaran lawan.
Kenyataan ini dikeluarkan selepas tinjauan semasa di media sosial rasmi pasukan itu menyaksikan Nafuzi Zain bersama staf kejurulatihan lain menjalani sesi latihan bersama skuad KDA B.
Menerusi perkongsian media rasmi Kedah, tiada sebarang foto membabitkan barisan pemain utama Liga Super termasuk import, dengan kelihatan hanya tonggak-tonggak muda KDA B sahaja mengharungi sesi latihan.
Jika benar, maka ia merupakan suatu cabaran cukup berat untuk dihadapi Nafuzi bersama anak-anak buahnya yang akan berkunjung ke gelanggang lawan menghadapi KL City.
Terdahulu, tampil laporan daripada wartawan Astro Arena iaitu Fina Nasrom, cukup untuk membuatkan para penyokong remuk hati memikirkan perjalanan semasa kelab kesayangan mereka.
“KDA FC KRITIKAL. Hari ini memasuki hari kedua pemain KDA boikot latihan. Difahamkan sepanjang 2024, pemain hanya dibayar 1.5 bulan sahaja. Itu pun secara ansuran.
“Selepas Habib & Fikri Che Soh ramai lagi pemain bakal tinggalkn Kedah. Lebih parah Kedah masih dalam transfer ban,” jelas kenyataan Fina di media sosial X.
KDA FC KRITIKAL.
Hr ini memasuki hr ke2 pmain KDA boikot latihan.
Di fahamkan sepanjang 2024, pemain hanya dbyr 1.5 bulan shj. Itu pun secara ansuran.
Slps Habib & Fikri Che Soh ramai lg pemain bakal tinggalkn Kedah. Lebih parah Kedah masih dalam transfer ban.@ASTROARENA pic.twitter.com/Epcx1i78bS
— FinaNasrom (@fnasrom) September 4, 2024
Sejak penghujung musim lalu lagi, Kedah sudah pun mengalami isu kewangan yang mulai kedengaran di media sosial serta menjadi bualan dalam kalangan peminat.
Namun, situasi terus bertambah buruk pada musim ini dengan subjek kewangan terus menjadi cerita utama Kedah sehingga persiapan dilakukan tampil serba kekurangan.
Sehingga kini, kelihatan segelintir penyokong Sang Kenari sendiri pasrah akan nasib dihadapi pasukan kesayangan mereka dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Apapun jika dilihat daripada sudut positif pada aksi mendatang, ia sebenarnya bakal memberi pendedahan terbaik untuk para pemain muda tersebut bawah kendalian Nafuzi beraksi di pentas lebih tinggi.
Mungkin pada masa hadapan, Kedah perlu menggunakan semua pemain-pemain tempatan sendiri sebagai salah satu langkah penjimatan terbaik sebelum kewangan mereka kembali kukuh.