Adakah Kedah bakal kempunan lagi untuk meraih tiga mata pertama dalam saingan minggu ke-4, CIMB Liga Super 2020 menentang Selangor pada malam esok?
Selepas tiga perlawanan, Helang Merah yang diramalkan oleh sesetengah pemerhati sebagai pasukan pencabar mahkota kejuaraan liga dilihat kurang ampuh apabila hanya meraih satu mata – ketika berdepan pendatang baharu liga, UiTM FC.
Berjaya mendahului perlawanan menerusi ledakan penyerang berbisa, Kpah Sherman pada minit ke-30, Kedah ‘hanyut’ melayan permainan yang ditampilkan oleh skuad kendalian Frank Bernhardt dalam perlawanan yang berlangsung Rabu lalu.
Akhirnya, lapan minit menuju ke wisel penamat, Kedah berjaya dibolosi lawan menerusi jaringan sulung penyerang import berusia 23 tahun, Gustavo Almeida.
Berdepan pula Selangor untuk aksi ke-4 bukanlah tugasan mudah ditambah pula dengan rekod pada saingan musim lalu yang lebih memihak kepada Gergasi Merah.
Dalam dua pertembungan Liga Super musim lalu, Kedah hanya mampu merekodkan keputusan seri 1-1 di gelanggang sendiri sementara tewas 1-3 dalam aksi pusingan kedua di gelanggang lawan. Ia bukanlah satu rekod yang baik buat Aidil Sharin.
Kali terakhir Kedah berjaya mengatasi Selangor di Stadium Darul Aman adalah pada musim 2018 iaitu dengan kemenangan bergaya 4-0. Penjaring tiga gol ketika itu, kini telah menyertai kem Selangor iaitu Syazwan Zainon dan Sandro da Silva.
Selain itu, selepas ‘diranapkan’ Terengganu FC dalam aksi kedua liga dengan ‘hadiah’ kekalahan mengejut – walaupun pada satu ketika mendahului perlawanan sehingga 80 minit perlawanan, moral para pemain sudah tentu perlu disemak semula.
Kedah juga harus segera memperbaiki masalah di benteng yang tidak pernah selesai – bolos enam gol dalam tiga perlawanan, dan mungkin dengan membuat rombakan kecil nanti mampu memberikan nafas dan semangat baharu buat mereka.
Pemain seperti Irfan Zakaria mungkin boleh diberikan ruang untuk beraksi selepas mempamerkan aksi baik sepanjang pra-musim yang lalu dan pilihan yang sukar buat Aidil Sharin adalah untuk merehatkan siapa bagi membolehkan Irfan Zakaria beraksi.
Ini bukanlah permulaan musim yang dimahukan Aidil Sharin mahupun para pemain. Ini merupakan antara permulaan terburuk Kedah sejak kali terakhir berlaku pada musim 2018 – hanya mengumpul tiga mata selepas tiga perlawanan pertama.
KREDIT FEATURED IMAGE: ARENA HIJAUKUNING