Selepas berjaya memperoleh perpindahan keluar dari Tottenham Hotspur, pemain Inter Milan iaitu Christian Eriksen membuka cerita sebenar disebalik perkara itu.
Bercakap kepada BBC Sport, Eriksen menganggap dirinya ibarat ‘kambing hitam’ dengan menghadap pelbagai kecaman dari penyokong sendiri terutamanya selepas tewas dalam perlawanan akhir UEFA Champions League di tangan Liverpool musim lalu.
“Saya sering dipersalahkan dalam pelbagai perkara, kerana menjadi budak jahat.”
“Saya baca yang saya digambarkan sebagai budak jahat dalam bilik persalinan, semuanya sejak saya katakan ingin tinggalkan pasukan. Ianya tidak baik untuk saya kekal di sana.”
Kata Eriksen, beliau sering diselubungi dengan persoalan adakah dirinya akan meninggalkan Tottenham Hotspur atau tidak.
“Beberapa tahun di England cukup sukar. Setiap kali bermain, pasti akan timbul soalan ‘adakah beliau akan pergi’? Jelas sekali ramai orang bercakap mengenainya.”
“Jika saya berjumpa penyokong di jalanan, mereka akan ucapkan selamat tinggal, terima kasih dan juga semoga berjaya tetapi saya masih lagi di sana bersama mereka. Dalam fikiran saya, eloklah saya pergi dan mulakan perkara baharu.”
Eriksen menambah beliau hanya mahu menjadi diri sendiri dan berlaku jujur dalam apa yang berlaku.
“Saya sangat jujur, saya rasa saya perlu jujur. Saya tak nak sorokkan seperti pemain lain sering lakukan. Semua orang berbeza, saya mahu berlaku jujur dan berkata secara terang-terangan.”