Jualan tiket perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 diantara Harimau Malaya menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini mendapat sambutan yang luar biasa sehingga kesemua tiket termasuk tiket jualan online sudah habis dijual.
Namun begitu, kegagalan sistem jualan tiket dalam talian melalui laman web Tickethotline mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong kerana perkhidmatan jualan dalam talian yang disediakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disifatkan sangat teruk.
Satu laporan polis telah pun dibuat terhadap syarikat Ticket Hotline kerana disyaki berlaku penyelewengan dalam penjualan tiket ‘online’ yang bermula sejak hari jumaat.
“Saya memfailkan laporan polis ini supaya siasatan dapat dilakukan terhadap Tiket Hotline untuk mengetahui sama ada terdapat unsur-unsur penipuan dalam menjual tiket-tiket ini,” katanya menerusi laporan yang difailkannya.
Sebanyak 40,000 tiket diperuntukkan oleh FAM untuk jualan dalam talian dan kesemuanya telah habis dijual pada pukul 9.30 pagi semalam.
Pada awalnya, pihak FAM hanya mengumumkan akan menjual sebanyak 20,000 tiket secara online pada hari Jumaat namun jumlah itu terpaksa ditambah kepada 30,000 tiket selepas mendapat permintaan yang tinggi.
Malah, waktu jualan turut dibuka 30 minit lebih awal daripada waktu sebenar seperti diumumkan oleh FAM. Menurut setiausaha agung FAM, Stuart Ramalingam, situasi itu berlaku kerana pihak tickethotline melakukan ujian sistem mereka.
80,000 tiket perlawanan akhir 1 sudah habis dijual
FAM menerusi laman Facebooknya hari ini mengumumkan kesemua tiket yang diperuntukan untuk jualan secara fizikal hari ini sudah habis dijual dalam masa singkat.
“Kepada penyokong yang gagal mendapatkan tiket, FAM tidak dapat memenuhi hasrat anda untuk mendapatkan tiket kerana kami hanya dapat menjual 80,000 keping tiket sahaja mengikut kapasiti stadium. Dengan itu, kami memohon maaf.
“Diharap para penyokong yang masih berada di pekarangan Stadium Nasional supaya bolehlah bersurai kerana kaunter tiket telah pun ditutup sepenuhnya dan tiket sememangnya sudah pun habis,” kata kenyataan itu.