Tindakan pantas mengubah corak permainan ternyata membuahkan hasil positif apabila Sri Pahang meneruskan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super musim ini selepas membenam Kuching City.
Jaringan tunggal Azan Azih sudah cukup memberikan tiga penting buat pasukan Tok Gajah.
Bagi pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad, perubahan corak permainan terpaksa diubah selepas melihat pasukan lawan berjaya memberi tekanan pada barisan pertahanan dan jika lambat melakukan sesuatu, mungkin Kuching dapat menjaringkan gol.
“Mereka bekerja keras di separuh masa pertama terutama 25 minit awal permainan dengan menekan kita. Disebabkan itu, kita terpaksa membuat perubahan formasi permainan dari 4-3-3 kita bermain kepada 3-5-2, 5-3-2 untuk menangani kemahiran individu pasukan lawan.
“Jadi, separuh masa pertama memang berat untuk pasukan saya dan mereka nampak bahaya sekali cuma penyudah mereka sahaja kurang baik,” ujar Fandi.
Menurut jurulatih kelahiran Singapura ini, ketumpulan jentera serangan pasukan lawan memberi kelebihan buat tuan rumah dan pasukannya berjaya mengambil kesempatan tersebut dengan menjaringkan gol serta mengekalkan kelebihan tersebut sehingga tamat permainan.
Tambah Fandi, dalam perlawanan dengan Kuching, beliau memberi arahan kepada pemain untuk bermain dari sebelah tepi namun jangan sesekali melakukan hantaran lintang kerana pemain pertahanan lawan ada ketinggian yang bagus untuk lawan bola tinggi dan ini akan jadi kelebihan buat mereka.
Selain Johor Darul Ta’zim (JDT), kemenangan ini juga menjadikan mereka antara pasukan yang belum tewas setakat sembilan perlawanan.
Ini juga merupakan permulaan yang bagus jika dibandingkan dengan beberapa musim lepas.
Selain itu, beliau turut memuji anak-anak buah Irfan Bakti dengan menyifatkan pasukan ini menunjukkan permainan yang baik dan peningkatan prestasi yang bagus buat pasukan tersebut.
Masalah kecederaan turut membelenggu kem Pahang apabila beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan dan ini membuatkan Fandi harus bijak dalam mencaturkan taktikal agar memperoleh keputusan positif.