Malaysia meneruskan rentak cemerlang dalam aksi persahabatan antarabangsa apabila berjaya menewaskan Kepulauan Solomon dengan jaringan 4-1 di Gong Badak.
Beraksi di hadapan lebih 10 ribu penyokong Harimau Malaya di Pantai Timur, Malaysia mempunyai peluang awal menerusi sepakan percuma dekat luar kotak penalti namun percubaan Paulo Josue terkena benteng.
Peluang yang lebih menarik hadir menerusi gerakan Faisal Halim dari sebelah kiri apabila berjaya memberikan bola kepada Stuart Wilkin. Rembatan Wilkin kemudiannya membias pertahanan lawan dan ditepis oleh penjaga gol.
Momentum serangan Malaysia terpaku apabila pada minit ke-11 Kepulauan Solomon apabila Raphael Le’Ai menjaringkan gol pertama mereka.
Hasil kegagalan Syihan Hazmi yang ingin mencuba mengeluarkan bola daripada zon bahaya, ia meninggalkan Le’Ai dengan keseorangan di depan gol Malaysia dan beliau tiada masalah untuk meletakkan negaranya di depan.
Josue terus menjadi watak penting serangan utama Malaysia dengan pemain ini melakukan beberapa percubaan bahaya seperti rembatan voli pada minit ke-25 selain gagal menyempurnakan peluang dari jarak enam meter empat minit kemudian.
Arif Aiman yang kelihatan agak suram pada 45 minit pertama turut mempunyai percubaan menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti, namun sepakannya pada minit ke-35 melewati palang gol.
Usaha keras Malaysia untuk menyamakan kedudukan akhirnya berhasil apabila kesilapan penjaga gol lawan yang menepis bola hantaran lintang Arif membolehkan Josue menjaringkan gol.
Bola yang ditepis betul-betul depan Josue yang sudah menanti di depan gol memudahkan pemain itu menjaringkan gol penyamaan mereka.
Sebelum rehat separuh masa, Malaysia berhasil memperoleh gol pendahuluan menerusi Arif yang menyempurnakan sepakan penalti.
Ianya terhasil pada masa kecederaan dan pemain itu mudah menewaskan penjaga gol Kepulauan Solomon untuk meletakkan Malaysia di depan sebelum rehat.
Separuh masa kedua bermula dengan Malaysia terus menekan Kepulauan Solomon untuk mencari gol tambahan.
Buktinya, serangan bertali arus dilancarkan Malaysia dengan Josue melepaskan peluang keemasan dan disusuli gerakan solo Faisal yang tidak berjaya menewaskan penjaga gol lawan.
Wilkin juga berhasil melepaskan satu rembatan deras dari luar kotak penalti namun begitu ianya sekadar singgah di tepi gol Kepulauan Solomon sahaja.
Tempo permainan sedikit kendur selepas beberapa pemain dikeluarkan dan Malaysia mula mengambil kesempatan itu untuk mengawal perlawanan.
Namun begitu, usaha menjaringkan gol berhasil apabila pemain gantian, Safawi Rasid menambah kelebihan Malaysia pada minit ke-76.
Kawalan menarik Safawi begitu kemas membolehkan beliau mencipta ruang untuk dirinya sendiri dan selepas itu menjaringkan gol ketiga Malaysia.
Malaysia berjaya untuk menambah jaringan di masa kecederaan menerusi Lee Tuck yang menghasilkan rembatan begitu deras dari dalam kotak penalti.
Rembatan kaki kiri itu tidak mampu dihalang dan ia memberikan kegembiraan saat akhir buat penyokong yang hadir ke Gong Badak malam ini.
Secara keseluruhannya, Malaysia menghasilkan rentak serangan yang baik cuma terlalu banyak peluang yang dipersia-siakan.
Ia adalah satu perkara yang perlu dibaiki oleh Kim Pan-gon menjelang aksi yang lebih penting kelak.
Namun begitu, pujian harus diberikan kepada Phillip Mango, walaupun tewas tetapi persembahan cemerlang beliau di depan gol berjaya menghalan Malaysia daripada memperoleh lebih banyak gol.
Keputusan penuh, Malaysia 4-1 Kepulauan Solomon.
GAMBAR: Shah Amirul – Semuanya BOLA & Syamil Rosli – PFA Malaysia
Kesebelasan utama:
Malaysia: Syihan Hazmi (penjaga gol), Feroz Baharudin, Shahrul Saad, La’Vere Corbin-Ong, Matt Davies, Stuart Wilkin, Syamer Kutty, Endrick Dos Santos, Faisal Halim (ketua pasukan), Paulo Josue, Arif Aiman
Kepulauan Solomon: Phillip Mango (penjaga gol), Ian Lagwai Kalu, Leon Kofana, Javin Alick, Mohammad Ali, William Komasi, Raphael Le’Ai, Gagame Feni, Calvin Ohasio, Marlon Tahioa, Joses Nawo (ketua pasukan)