Kecemerlangan Ifwat Akmal & Kamil Akmal Tutup Kekecewaan Kedah Gagal Raih 3 Mata

Kedah Darul Aman

Kedah Darul Aman (KDA) masih buntu untuk mencatatkan kemenangan dalam pertemuan di Stadium Darul Aman malam tadi menentang Negeri Sembilan.

Berikut adalah lima aspek positif dan negatif keseluruhan permainan KDA dalam aksi 0-0 menentang skuad Jang semalam.

Nilai positif

1. Semangat juang pemain dalam 90 minit. Nasib tidak menyebelahi pasukan meskipun serangan pada lewat babak permainan dilakukan. Namun harus dipuji semangat tak nak mengalah mereka.

2. Ifwat Akmal cemerlang mengawal kubu dan berjaya mencatatkan nirbolos (clean sheet) selepas beberapa perlawanan dibolosi dengan purata tiga gol. Satu perkara baik untuk disaksikan buat penyokong KDA.

3. Debut Kamil Akmal (jersi 66) di pertahanan kanan boleh dianggap positif. Beliau kelihatan tenang mengawal posisi selain berani untuk membawa bola ke hadapan. Aidil Sharin perlu memberikan minit permainan yang lebih kepada beliau selepas ini.

4. Kemasukan Fayadh Zulkiflie memberikan penggalak di bahagian depan dan satu, dua gerakan yang dimulakan beliau hampir membuahkan hasil.

5. Kedah berjaya ‘mencuri’ satu mata di sebalik aksi cemerlang pasukan Negeri Sembilan yang sedang meningkat naik.

Nilai negatif

1. Ketiadaan bentuk serangan yang kukuh dan lebih bergantung kepada kemahiran individu. Ia berlaku sepanjang perlawanan dan ini tidak baik memandangkan bola sepak adalah permainan berpasukan. Sesuatu yang terus merunsingkan barisan kejurulatihan.

2. Dua pertahanan tengah yang berstatus import masih tidak cukup kukuh untuk menghalang gerakan serangan pihak lawan. Mungkin kedua-duanya calon utama untuk disingkirkan dalam jendela perpindahan pemain kelak?

3. Penguasaan bahagian tengah yang longgar dan tidak banyak membantu kepada aspek serangan KDA.

4. Kegagalan menjaringkan gol ketika serangan pada lewat babak menyebabkan KDA meneruskan kemarau kemenangan.

5. Pengadil… (macam biasalah)

Dapat satu mata atau hilang dua mata?

Kedah bermain dengan formasi 4-2-3-1 tanpa kehadiran Dechi Marcel yang digantung perlawanan.

Khairu Azrin dan Amirul Hisham berada di hadapan pertahanan, manakala Fadzrul Danel di belakang Ronald Ngah Wanja bersama-sama Syafiq Ahmad dan Al-Hafiz Harun.

K Devan mengguna pakai formasi 3-5-2 dan 5-3-2 ketika bertahan dan pasukan tidak menguasai bola (off-possession).

Sistem ini sememangnya sesuai dengan Negeri Sembilan kerana Devan juga menyedari beliau boleh menggunakan pemain di bahagian tepi.

Separuh masa pertama adalah milik Negeri Sembilan secara keseluruhannya. Namun, kecemerlangan Ifwat menjaga gawang malam semalam menafikan kelebihan kepada pasukan pelawat.

Walau bagaimanapun, saya tertarik dengan aksi yang dipamerkan pemain pertahanan, Kamil Akmal yang diturunkan menggantikan Amirul Azhan.

Beliau kelihatan selesa memegang bola, berani untuk lebih ke bahagian atas dan tidak banyak melakukan hantaran ke belakang (back pass).

Sekurang-kurangnya kita boleh membentuk prospek pertahanan kanan yang lebih kukuh selepas ketiadaan Rizal Ghazali di posisi berkenaan.

Kemasukan Fayadh nyata memberikan impak kepada jentera serangan Kedah. Menyedari taktikal Aidil yang akan menjurus kepada Fayadh, Devan memasukkan A. Selvan bagi mengimbangi kelajuan pemain tersebut.

Pemain-pemain Kedah melakukan serangan pada lewat babak ketika pasukan Negeri Sembilan mula mengendurkan tempo mereka. Malangnya, tiada peluang yang berjaya diterjemah kepada jaringan.

Pada satu sisi, satu mata di Darul Aman sedikit melegakan selepas aksi longlai dalam beberapa perlawanan terakhir.

Pada sisi yang lain pula, KDA terus keciciran mata, gagal mencipta kemenangan serta semakin mengecilkan peluang mereka untuk terus berada di kelompok atasan liga.

Satu mata di Darul Aman, melegakan tetapi merisaukan.

Nota editor: Artikel ini merupakan nukilan Hafiz Mansor yang dikenali sebagai penyokong tegar Kedah. Jika anda ingin hantar artikel kepada kami, tujukan penulisan anda dalam format MS Word dengan tidak kurang daripada 300 patah perkataan ke [email protected] .

Leave a Reply