Pada mulanya bahagian pertahanan Liverpool kelihatan seperti bermasalah selepas kecederaan Joe Gomez. Fabinho kemudiannya membuktikan beliau mampu menjadi pengganti – setelah Dejan Lovren turut disahkan tersisih sejak kekalahan kepada Wolves di pertandingan Piala FA yang lalu.
Kini Jurgen Klopp perlu memikirkan satu lagi permasalahan – setelah bek kanan, Trent Alexander-Arnold disahkan mengalami kecederaan sebelum perlawanan menentang Brighton tempoh hari – walaupun meneruskan aksi 90 minit.
Ingat. Liverpool kini dalam misi mempertahankan kelebihan mereka di puncak liga untuk bergelar juara Liga Inggeris buat pertama kali sejak 28 tahun yang lalu.
Disisihkan sebulan
Tahap kecederaan yang dialami oleh Alexander-Arnold hanya didedahkan semalam, dan disahkan terpaksa disisihkan selama sebulan untuk tujuan rawatan dan pemulihan.
Namun selepas tersingkir dari saingan Piala FA dan tanpa perlawanan pada penghujung Januari ini, ini bermakna pemain muda tersebut hanya akan terlepas aksi tiga atau empat perlawanan untuk Liverpool.
Malah bek kanan England itu dijangka akan kembali menyertai skuad kendalian Klopp seawal 9 Februari untuk perlawanan menentang Bournemouth di Anfield. 10 hari kemudian, Liverpool turut akan berhadapan Bayern Munich di pusingan kalah mati UEFA Champions League.
Klopp tidak panik
Liverpool baru sahaja membenarkan Nathaniel Clyne menyertai Bournemouth secara pinjaman -bermakna mereka tidak dibenarkan untuk memanggil kembali pemain tesebut.
Namun Klopp dilaporkan tidak mahu panik dengan situasi tersebut dan percaya skuad sedia ada mampu menampung kekurangan yang ada di bahagian pertahanan.
Antara pilihan yang ada ialah dengan menurunkan James Milner sebagai pengganti. Posisi bek kanan tersebut bukan perkara asing buat Milner setelah pemain veteran serba boleh tersebut pernah beraksi di posisi sama dalam beberapa perlawanan pada musim lalu.
Pemain muda, Ki-Jana Hoever juga boleh beraksi di posisi tersebut sekiranya diperlukan – selain daripada Fabinho yang turut pernah beraksi di posisi bek kanan ketika masih bersama Monaco.
Setidak-tidanya, ini adalah peluang Klopp untuk membiasakan pemain dengan posisi yang berbeza- sekaligus memberikan lebih banyak variasi dan pilihan pada masa hadapan.