Quantcast

BERITA

Kecederaan Syahmi Safari Jejaskan Perancangan Tan Cheng Hoe

Persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022 yang bermula pada bulan depan sedikit terjejas apabila pemain pertahanan kanan Selangor, Syahmi Safari dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian buku lali.

Situasi itu menyebabkan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe terpaksa memikirkan calon pemain lain bagi menggantikan tempat Syahmi dalam senarai awal 26 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat.

“Saya mendapat berita berkenaan kecederaan Syahmi dan berharap ia tidak begitu serius.

“Apabila mengetahui perkara ini, sudah tentu saya risau kerana semua tahu bahawa Syahmi merupakan tonggak utama pasukan dan sangat berpengalaman bersama skuad Harimau Malaya,” katanya dalam Kosmo. 

Tan Cheng Hoe

Bagaimanapun, mereka perlu merujuk kepada keputusan ujian perubatan terlebih dahulu sebelum mengambil langkah yang seterusnya.

“Apa pun, saya akan tunggu keputusan ujian imbasan pengimejan resonans magnetik terlebih dahulu bagi mengetahui tahap sebenar kecede­raannya.

“Sekiranya ia serius, saya akan duduk berbincang dengan barisan kejurulatihan untuk mencari pengganti sesuai bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkannya,” jelas Cheng Hoe.

Selain Syahmi, bek kiri JDT, Corbin Ong dan pemain pertahanan tengah PKNS FC, Rodney Celvin adalah antara pemain baharu yang mendapat panggilan daripada Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan.

Mereka dijadualkan menentang Nepal dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2 Jun depan. Kemudian 23 pemain terbaik akan dipilih membawa cabaran negara menentang Timor Leste untuk aksi kelayakan Piala Dunia di stadium yang sama.

Jika menang, skuad Harimau Malaya akan mara ke pusingan kedua bersama 40 pasukan iaitu pasukan yang berada di ranking 1 hingga 34 asia serta 6 pasukan yang menang di pusingan pertama akan dibahagikan kepada 8 kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai 5 pasukan.

Hanya juara kumpulan dan 4 pasukan naib juara yang terbaik akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan layak secara automatik ke kejohanan Piala Asia 2023. Manakala baki pasukan yang lain akan beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023.