Kecederaan Halim Saari Dan Syahmi Safari Beri Kesan Kepada Skuad Selangor

Pengendali Selangor, B.Satiananthan melahirkan kebimbangan beliau mengenai kecederaan pemain tengah skuad kebangsaan iaitu Halim Saari ketika mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu FC dalam aksi Liga Super kelmarin.

Malah, khidmat pemain itu mungkin tidak akan dapat digunakan pada perlawanan perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang Kelantan di Kota Bharu, Selasa ini jika tidak sempat pulih.

“Kecederaan Halim agak serius dan saya perlu fikir tentang dia (pengganti Halim). Piala FA hari Selasa dan bermain di Kelantan jadi itu yang saya risau.

“Ini lah akibat jika bermain tidak sampai 72 jam dan bermain lagi ia bukan mudah, kalau Superman boleh lah,” katanya dalam Utusan Malaysia

FOTO: FA Selangor

Selain Halim, Selangor juga tidak dapat menurunkan Syahmi Safari yang perlu berehat seminggu selepas mengalami kecederaan peha ketika mewakili skuad Malaysia B-23 dalam kempen kelayakan AFC B-23 beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, Satiananthan tetap memuji aksi anak buahnya yang mencatat kemenangan kedua dalam saingan liga super. Ini merupakan kemenangan pertama skuad gergasi merah di halaman sendiri musim ini.

“Ini psikologi, orang selalu cakap kita tidak pernah menang di Shah Alam dari tahun lepas, ini ada tertanam dalam diri pemain dan mahu keluarkan benda itu memang susah.

“Dengan kemenangan hari ini kita lega dan percaya kita boleh menang lagi di Shah Alam. Secara keseluruhan saya puas hati, tetapi babak pertama pemain sedikit gemuruh namun babak kedua mereka mula beraksi baik.

“Saya sangat gembira dapat tiga mata dan jika (barisan hadapan) lebih bijak serta tenang dalam menyudahkan peluang mungkin kita akan dapat lebih banyak gol,” katanya.

Pemain sayap lincah, Faiz Nasir yang sebelum ini memberi impak besar kepada pasukan Harimau Malaya ketika menumbangkan Afghanistan dalam aksi Piala Air Marine Sabtu lalu, sekali lagi menyinar dengan menjaringkan gol kemenangan buat Selangor.

Leave a Reply