Keberkatan Ramadan: Muhamed Besic Temui ‘Jalan Pulang’

Muhamed Besic

Umat Islam di seluruh dunia ketika ini sedang berdepan dengan ‘norma baharu’ dalam bulan Ramadan. Bagi pemain tengah Sheffield United, Muhamed Besic, terdapat hikmah yang cukup besar dalam kehidupannya di sebalik pandemik COVID-19.

Tahun-tahun sebelum ini, pemain antarabangsa Bosnia dan Herzegovina ini tidak pernah peduli dengan ketibaan bulan Ramadan, apatah lagi dengan kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional.

Besic menyertai Everton pada 2014 dari kelab Hungary, Ferencvaros. Empat tahun di Goodison Park, beliau hanya membuat 56 penampilan kerana sering dilanda kecederaan.

Musim lepas semasa dipinjamkan ke Middlesbrough mungkin merupakan musim terbaiknya apabila beraksi dalam 56 perlawanan, menyamai rekod penampilan selama empat tahun di Everton. Musim ini beliau telah dipinjamkan ke Sheffield United.

Dalam satu temubual bersama BBC, Besic mengatakan beliau amat bersyukur sepanjang tempoh penggantungan aksi Liga Perdana Inggeris selama lebih dua bulan ini, lebih banyak masanya dihabiskan bersama keluarga.

“Dua minggu lepas saya mendapat cahaya mata, seorang bayi lelaki, sudah tentu saya gembira dapat meluangkan banyak masa dengannya.

“Dengan masa yang ada, saya dapat mengajar anak-anak saya lebih banyak mengenai keindahan agama Islam. Lebih bagus kita memberikan kefahaman sejak mereka masih kecil.

Menurutnya, beliau kini sangat menghargai kerja dakwah yang dibuat oleh ‘imam’ dan guru-guru agama kerana baginya agak sukar untuk mencari perkataan atau istilah yang betul. Namun ia memberi peluang kepadanya untuk belajar.

“Kini saya mula rindukan suasana di masjid terutamanya solat terawih berjemaah. Saya harap semuanya dapat kembali normal tidak lama lagi.”

Disebabkan kerap dilanda kecederaan sebelum ini, pemain berusia 27 tahun itu mendedahkan beliau telah mengubah diet pemakanannya dengan mengurangkan pengambilan daging dan ikan.

https://twitter.com/TOFnews/status/1262708394131173376?s=20

Malah beliau turut mengakui tahun ini adalah satu rahmat kerana buat kali pertama beliau belum pernah ‘ponteng’ puasa dan berharap dapat berpuasa penuh.

“Saya bersyukur di atas banyak perkara, kini saya rasa lebih dekat dengan Allah. Saya mengaku agak bergelut dengan keimanan dan kepercayaan saya buat sekian lama sejak bermain bola sepak. 

“Saya juga bertatu tetapi saya cuba belajar bagaimana Sonny Bill Williams [pemain ragbi New Zealand] berdepan dengan masalah ini.

“Saya tiada masalah dengan kemasyhuran. Masalah saya adalah mengenai wang dan sifat materialistik dalam kehidupan saya. Saya mula rasa ‘kosong’ dalam jiwa.

“Pernah saya membeli kereta Lamborgini, saya duduk di kerusi pemandu dan kemudian terfikir, “Apa pula sekarang?” Saya hanya rasa kosong dan sekadar merasakan ia hanyalah seperti memandu kereta biasa. Itulah titik perubahan dalam hidup saya.

“Saya ada 14 kereta dalam masa tiga tahun. Memang tidak masuk akal, tetapi kini saya banyak berdoa agar tabiat buruk itu dapat ditinggalkan.”

Tambah Besic lagi, kehidupan di England cukup harmoni kerana masyarakat di negara itu saling menghormati sekalipun berbeza agama dan kepercayaan.

“Di Jerman ianya agak berbeza sedikit kerana di sana mereka agak kurang menghormati ‘golongan lain’. Sebab itu saya sudah beraksi di England sehingga enam tahun dan saya harap boleh kekal lebih lama di sini.”

Kredit Foto: muhamed.mo.besic

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Sheffield United dan Everton:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN