Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Kebergantungan Penuh Kepada Geran Tahunan MFL, Sampai Bila?

Perlukah kelab atau pasukan bola sepak bergantung sepenuhnya kepada geran tahunan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menampung segala perbelanjaan mereka?

Masih ada persatuan yang meletakkan di bahu MFL atas masalah gaji yang dihadapi apabila geran tahunan tersebut lewat diterima. Sebagaimana yang telah dilaporkan oleh berita ini.

Jika difikirkan perkara yang disebutkan di dalam berita tersebut, seakan-akan hampir semua pasukan di Liga Malaysia (Liga M) bergantung sepenuhnya kepada geran tahunan tersebut.

Tidak dinafikan, geran tahunan tersebut adalah hak pasukan-pasukan bertanding, namun kebergantungan penuh kepadanya seakan-akan pasukan-pasukan tersebut tiada sumber lain.

Nilai geran tahunan vs dana diperlukan

Untuk rekod, berikut adalah nilai-nilai geran tahunan yang disalurkan oleh MFL kepada setiap pasukan bertanding. Sebelum ini ianya diuruskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM):

Tahun 2011

  • Liga Super: RM300,000
  • Liga Premier: RM100,000

Tahun 2014

  • Liga Super: RM350,000
  • Liga Premier: RM250,000

Tahun 2019

  • Liga Super: RM3 juta
  • Liga Premier: RM1 juta

Pada 2017, Pengarah Urusan Action Football Asia, Effendi Jagan Abdullah telah mendedahkan sesebuah pasukan Liga Super memerlukan dana tahunan sekitar RM15 juta ke RM20 juta.

Untuk Liga Premier pula, Effendi menjelaskan yang dana sebanyak RM12 juta ke atas diperlukan untuk operasi pasukan semusim.

Effendi Jagan Abdullah (kanan). FOTO: NST.

Jadi, geran yang disalurkan oleh MFL itu kecil nilainya berbanding kos operasi sesebuah pasukan untuk semusim. Atau adakah geran ini digunakan sepenuhnya untuk gaji pemain dan pegawai?

Begitupun, menurut pendedahan Effendi yang berpengalaman selama 15 tahun sebagai ejen pemain itu lagi, untuk gaji sahaja, setiap pasukan Liga Super memerlukan minimum sekitar RM6 juta, sementara untuk Liga Premier pula sebanyak RM5 juta.

Jadi, di manakah relevennya masalah gaji pemain-pemain dikaitkan dengan kelewatan geran tahunan MFL?

Perlukah geran tahunan jika ada tajaan?

Setiap pasukan yang bertanding di Liga Super dan Liga Premier sewajarnya memiliki penajaan setiap musim. Persoalan di sini, sekiranya sudah ada tajaan, adakah geran tahunan diperlukan?

Penajaan sepatutnya digunakan untuk kos operasi tahunan setiap pasukan. Dan setiap pasukan seharusnya mencari nilai tajaan yang memenuhi kos operasi tahunan mereka pada musim tersebut.

Jika tidak, ini yang memungkinkan kepada berlakunya pelbagai masalah kepada pasukan-pasukan terlibat selepas beberapa bulan termasuklah isu pokok, kegagalan pembayaran gaji.

Ya, geran tahunan masih relevan. Ia adalah hak setiap pasukan bertanding atas hak imej pasukan yang telah dan akan digunakan. Namun, ia bukanlah lesen untuk menyatakan geran tahunan itu adalah penyelesaian kepada masalah gaji para pemain.

Walaupun tidak dinyatakan secara khusus bagaimana dana tersebut perlu diagihkan selepas diterima persatuan, namun menurut FAM ia bukanlah semata-mata untuk gaji.

Menurut laporan Berita Harian, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dipetik berkata, dana tersebut sewajarnya disalurkan untuk program pembangunan akar umbi.

Ianya juga boleh digunakan oleh persatuan untuk penganjuran liga tempatan di daerah dan kawasan, proses baik pulih kemudahan infrastruktur dan juga padang serta sebagainya.

Bukan untuk selesaikan masalah gaji

Jadi, untuk menampung perbelanjaan pasukan, sewajarnya pasukan-pasukan yang bertanding di Liga Malaysia mengumpul dan menggunakan dana pasukan menerusi penajaan.

FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam telah menegaskan pada awal tahun lalu yang geran tahunan bukanlah jalan penyelesaian untuk melangsaikan masalah gaji pemain. 

Persoalannya, sejauh mana persatuan telah mematuhinya dan ke mana pula perginya tajaan bernilai jutaan ringgit yang telah diperolehi oleh persatuan masing-masing?

Saban tahun pada awal musim, boleh dikatakan hampir semua pasukan mengumumkan jumlah nilai tajaan yang diterima termasuklah pasukan bermasalah seperti Terengganu City FC.

Usai menjuarai Piala FAM 2018, TCFC telah mengumumkan jumlah tajaan bernilai RM8 juta sebelum dihalang bertanding di Liga Malaysia 2019 atas sebab masalah kewangan.

FOTO: FAM

Timbul pula persoalan, ke mana hilangnya dana RM8 juta itu?

MFL perlu maktubkan kegunaan geran tahunan

Satu perkara yang MFL boleh lakukan untuk menjamin geran tahunan digunakan mengikut yang sepatutnya adalah dengan memperincikan bagaimana geran tersebut seharusnya digunakan.

Dan selepas itu, satu audit tahunan perlu dijalankan ke atas semua persatuan yang telah menerima geran tahunan tersebut.

Ya, FAM ada menyatakan yang geran tersebut adalah untuk program pembangunan akar umbi namun tiada perincian atau audit tahunan yang dilakukan ke atas persatuan terlibat.

Jika dirujuk penerangan yang terdapat dalam buku ‘Asia and the Future of Football: The Role of the Asian Football Confederation‘ hasil tulisan Ben Weinberg, geran yang diberikan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kepada persatuan-persatuan terpilih ada perincian dan cara geran tersebut perlu digunakan.

FOTO: Booktopia

Antaranya adalah 30% perlu digunakan untuk merekrut jurulatih lelaki dan pentadbiran, 15% untuk pembangunan bola sepak wanita, dan baki 55% lagi adalah untuk inisiatif teknikal.

Dan, setiap tahun, sebagai proses pemantauan, AFC akan menjalankan audit untuk memastikan geran tersebut tidak disalahgunakan. Disamping itu, persatuan juga diwajibkan untuk melantik juruaudit bebas bagi proses pengauditan.

Mungkin ini langkah yang MFL perlu perincikan agar persatuan-persatuan lebih bertanggungjawab terhadap geran tahunan dan tentunya gaji pemain-pemain dan pegawai pasukan.

Cari tajaan untuk jamin kelangsungan pasukan

Pasukan-pasukan yang bertanding perlulah mencari dana atau tajaan untuk menampung segala kos operasi dan perbelanjaan pasukan musim tersebut. Ini perlu demi kelangsungan pasukan.

Hanya menanti geran tahunan daripada MFL tidak akan membantu pasukan malahan ia akan dan pastinya membawa kepada masalah-masalah lain pula dikemudian hari – cepat atau lambat.

Malah terdapat juga pasukan yang menanti dana kerajaan negeri selain geran MFL untuk menampung segala kos operasi semusim. Ini yang telah dan akan membunuh pasukan-pasukan terlibat.

Ya, Liga M gagal menarik minat penaja untuk melaburkan sejumlah mereka. Bagi mereka ianya tiada pulangan kepada mereka. Inilah tugas wakil pasukan untuk meyakinkan pihak tersebut.

Bagaimana untuk tarik keyakinan mereka? Sediakan pakej menarik? Penulis tiada jawapan tepat untuk persoalan tersebut.

Kerteh FC mengumumkan RHB Bank sebagai rakan kerjasama perbankan rasmi mereka untuk musim 2019.

FOTO: Kerteh FC

Jawapan mungkin ada pada beberapa kelab kecil yang tumbuh bagai cendewan selepas hujan ketika ini seperti Puchong Fuerza FC, Shah Alam Antlers, Kerteh FC dan sebagainya.

Bagaimana mereka boleh meyakinkan penaja-penaja untuk hadir dengan wang kepada kelab kecil seperti mereka? Apa yang kelab besar boleh belajar daripada cara dan kaedah mereka?

Rujuk kelab Kerteh FC yang baharu sahaja memeterai perjanjian bersama RHB Bank sebagai penaja kelab kecil mereka. Bagaimana ianya dilakukan? Turunlah padang dan belajar.

Penutup

Ini adalah pandangan peribadi penulis demi melihat sebuah liga tempatan yang sihat dan kembali pulih dari ‘sakit’. Sejujurnya, penulis merasakan liga kita tidak bergerak ke mana sehingga kini.

Saban tahun, permasalahan gaji menjadi topik utama dan dengan menyatakan sebab masalah gaji adalah atas kelewatan geran tahunan MFL, ia adalah sesuatu yang tidak releven di mata penulis.

Geran tahunan dan tajaan, dua perkara yang pihak persatuan perlu fikirkan sedalamnya ke mana ia akan disalurkan. Untuk menggunakan geran tahunan sebagai penyelesaian kepada masalah gaji, walaupun tiada salahnya kerana tiada garis panduan daripada pihak MFL, tetapi ia nampak kurang bersesuaian.

Bagaimana pendapat pembaca Semuanya BOLA. Wajarkah MFL ‘dipersalahkan’ untuk kelewatan gaji pemain-pemain pasukan bertanding? Adakah MFL perlu lebih bertegas dan mengeluarkan garis panduan mengenai penggunaan geran tahunan tersebut?

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!