Kebangkitan ‘Sang Kenari’, Ini 3 Faktor Kejayaan Kedah Atasi Wakil Dari Kemboja Semalam

Tampil dengan langkah kiri pada awalnya ketika berdepan Bali United, pastinya ramai tidak begitu berkeyakinan mengenai Kedah Darul Aman (KDA) dalam saingan Piala AFC 2022 peringkat Kumpulan G ini.

Namun sebaliknya berlaku apabila mereka mula mencipta kebangkitan mendadak dalam perlawanan kedua sewaktu menentang Kaya Ilo FC dengan 4 gol terhasil untuk kembali menunjukkan keyakinan buat para penyokong.

Semalam, KDA terus tidak menoleh ke belakang lagi apabila skuad kendalian Aidil Sharin berjaya melakar sejarah tersendiri untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala AFC bagi zon Asean, dengan kemenangan 5-1 mengatasi Visakha di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali sekali gus menjadi juara Kumpulan G.

Ini ada tiga faktor utama yang menyebabkan KDA begitu ampuh untuk ditangani Visakha pada perlawanan semalam.

Gandingan Sanrawat dan Dechi Marcel kukuh cengkaman tengah

Kedua pemain ini pada awal gandingan mereka ketika perlawanan menentang Bali United, jelas agak kekok dan masih lagi kurang persefahaman untuk menguasai posisi tengah.

Namun pada perlawanan kedua dan semalam, baik Sanrawat atau Marcel, masing-masing berjaya memainkan peranan dengan begitu baik selaku enjin utama KDA.

Sanrawat antara tunjang utama kekuatan Kedah ketika ini

Sanrawat jelas begitu tenang mengawal tengah menerusi hantaran-hantaran jauh tepat, sementara Marcel tidak berhenti untuk terus mengalirkan bola buat rakan sepasukan serta cemerlang meneutralkan serangan lawan.

Barisan pertahanan tempatan cemerlang

Tiga perlawanan di saingan Piala AFC ini jelas Aidil Sharin Sahak mempamerkan sesuatu yang bersifat berani namun membuahkan hasil buat pasukan dan para penyokong.

KDA tidak mempertaruhkan walau seorang pemain import kali ini di posisi pertahanan selain mengharapkan empat tonggak tempatan untuk mengemudi posisi tersebut.

Lebih menarik, Kamil Akmal selaku pertahanan kanan kelab tersebut berjaya memberi impak yang sangat besar buat KDA menerusi aksinya konsisten dalam tiga perlawanan.

Gandingan antara Akmal Zahir dan Rodney Celvin juga wajar dipuji apabila lawan gagal untuk menerjah masuk dari kawasan pertahanan tengah KDA dengan sewenangnya.

Mahmoud Al-Mardi Solusi hub kreativiti serangan KDA

Luar jangkaan. Hadir menjalani latihan yang singkat bersama kelab di Bali dan diturunkan terus pada perlawanan pertama lalu dalam saingan tersebut.

Hasilnya, empat gol sudah dilakar beliau daripada tiga perlawanan KDA di peringkat kumpulan.

Lebih manis, Al-Mardi berjaya meledak hatrik pada perlawanan semalam untuk memberi reaksi positif buat para penyokong kelab ketika ini.

Tampil dengan aksi yang lincah serta bijak memanfaatkan peluang, pemain kebangsaan Jordan ini boleh menjadi aset terbaharu untuk dibanggakan kem KDA sekembalinya dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Kesimpulan

KDA berjaya mengatasi masalah konsistensi dalam corak permainan mereka dalam saingan Piala AFC 2022 ini dengan baik.

Tampil dengan corak permainan yang lebih baik, serta posisi pertahanan dan serangan lebih positif, maka motivasi mereka juga pastinya dalam momentum terbaik setelah kembalinya dalam saingan Liga Super nanti.

Moga KDA terus melangkah lebih jauh dan terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN