Saingan Liga Super 2023 terus bersambung dengan membabitkan perlawanan derbi Pantai Timur antara Kelantan menentang Terengganu dalam misi masing-masing untuk cuba mendapatkan tiga mata penuh.
Beraksi di halaman sendiri iaitu Stadium Sultan Muhammad ke-IV jelas bakal menjadi tonik berguna buat Kelantan untuk mendapatkan motivasi terbaik daripada para penyokong mereka sendiri.
Kelantan antara pasukan paling bermasalah sejak awal saingan Liga Super berlangsung dengan pelbagai isu melanda kelab tersebut saban hari membabitkan perkara di atas padang atau luar.
Malah, daripada segi keputusan di atas padang, ianya lebih banyak mengecewakan para penyokong mereka sendiri untuk menjadi antara pasukan paling banyak bolos.
Saat penyokong semakin ramai berpatah hati, beberapa rombakan baharu dibuat pengurusan dianggap mula membuahkan hasil di atas padang.
Antara perubahan ketara pastinya membabitkan kejurulatihan baharu mereka iaitu Angel Alfredo Vera yang memberi kesan besar buat bola sepak Kelantan kini tampil lebih stabil serta berkualiti.
Malah, pengendali berkenaan juga tidak segan silu untuk terus memberi kepercayaan kepada bakat-bakat muda menyerlah beraksi di saingan pentas tertinggi dalam Malaysia.
Selepas dua kali mencatat kekalahan di tangan Terengganu, pastinya Kelantan kini bakal tampil lebih bersedia untuk memastikan pelawat tidak bersenang lenang sepanjang aksi berlangsung.
Untuk rekod, Kelantan terlebih dahulu menjadi mangsa amukan Terengganu pada awal April lalu dengan keputusan penuh berpihak kepada Sang Penyu 5-0.
Selepas itu, Terengganu sekali lagi mengecewakan Kelantan bagi saingan Piala FA dengan memastikan kemenangan buat mereka menerusi keputusan 4-2.
Walaupun begitu, kini pelbagai perubahan sudah pun berlaku dalam kem Kelantan, selain motivasi kemenangan mereka mengatasi Negeri Sembilan pada aksi lalu.
https://www.instagram.com/reel/Cv4RTv-t3aL/?igshid=MzRlODBiNWFlZA==
Terengganu pastinya akan tampil lebih berwaspada, walaupun pasukan itu menjadi pilihan untuk memenanginya jika dilihat pada rekod semasa serta kelebihan pada kualiti para pemain masing-masing.
Namun, Kelantan juga pastinya tidak ingin mencatat kekalahan kali ketiga buat Terengganu musim ini dengan jangkaan Alfredo Vera bakal membuat persiapan ketara untuk melayani pasukan lawan dengan lebih sengit berbanding sebelum itu.