Newcastle United mempamerkan kebangkitan dramatik setelah berjaya bangkit dari ketinggalan dua jaringan untuk menang 3-2 pada pertemuan menentang Everton di St James’ Park, malam tadi.
Kemenangan hebat tersebut menyaksikan skuad bimbingan Rafa Benitez itu mencatatkan lima kemenangan liga berturut-turut di gelanggang sendiri.
Ayoze Perez dan Salomon Rondon menjadi watak utama dalam memastikan tiga mata penuh milik mereka.
Perez berjaya menjaringkan dua gol serta mencipta satu bantuan jaringan manakala Rondon mencipta satu jaringan dan satu bantuan gol terhadap gol kemenangan dihasilkan Perez.
Dominic Calvert-Lewin meletakkan Everton di hadapan pada minit ke-18 selepas pemain berusia 21 tahun itu menanduk masuk bola hasil hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol Newcastle United yang dilakukan Lucas Digne.
Tuan rumah hampir menyamakan kedudukan selepas mereka dihadiahkan sepakan penalti akibat kekasaran ala ragbi yang dilakukan Jordan Pickford terhadap Rondon.
Matt Ritchie yang mengambil sepakan tersebut hampa setelah rembatannya berjaya dinafikan Pickford untuk menyelamatkan pintu gol Everton.
Berpunca hantaran lintang dilakukan Andre Gomes yang cuba dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh penjaga gol Newcastle United, Martin Dubravka, namun Richarlison dengan tenang menolak masuk bola bagi melebarkan kedudukan pada minit ke-32 ketika beliau tidak dikawal pertahanan.
Kelebihan dua jaringan itu kekal hingga 45 minit pertama dan perlawanan bersambung mengubah segalanya.
Bermula dengan jaringan Rondon pada minit ke-65, ia jelas menjadi tonik yang cukup berguna buat Newcastle United untuk terus bangkit.
Perez kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-81 selepas beliau melakukan percubaan susulan yang menewaskan Pickford walaupun penjaga gol utama England itu terlebih dahulu menafikan rembatan jarak jauh diledakkan Miguel Almiron.
Berselang tiga minit kemudian, Perez muncul wira buat Newcastle United dengan jaringan kemenangan yang sekaligus menghadiahkan kemenangan kesembilan buat mereka pada musim ini.
Dengan kemenangan ini, Newcastle United kini menduduki tangga ke-13 saingan Liga Perdana Inggeris dengan mengumpul 34 mata, berkelebihan satu mata di hadapan Crystal Palace.
Keputusan perlawanan lain EPL
Sementara itu baki perlawanan yang berlangsung malam tadi, Crystal Palace kecundang 1-2 di laman sendiri bertemu Brighton & Hove Albion dan Cardiff City berjaya menundukkan West Ham United 2-0.
Huddersfield Town terus dirundung malang apabila tewas 0-2 ditangan AFC Bournemouth, Leicester City menewaskan Fulham 3-1 manakala Southampton mencipta kejutan menang 2-1 bertemu Tottenham Hotspur.