Persiapan skuad Korea Selatan B-23 sedikit terganggu selepas perlawanan persabahatan bertemu Arab Saudi yang sepatutnya berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi terpaksa dibatalkan.
Pembatalan aksi pemanas badan bagi menghadapi Kejuaraan AFC B-23 2020 di Thailand itu disebabkan keadaan padang Stadium Shah Alam yang dikatakan kurang baik untuk digunakan.
Perkembangan itu disahkan oleh penulis Goal Korea Selatan, Steve Han menerusi satu ciapan di Twitter peribadi milik beliau.
Korea U23’s friendly against Saudi Arabia, originally scheduled for 31 December, has been canceled due to poor pitch conditions at the Sha Alam Stadium. Korea still set to play Australia on 3 January before they take on China in Olympic qualifying opener on 9 January. https://t.co/8OQCiTB7vR
— Steve Han • 한만성 (@realstevescores) December 31, 2019
Skuad bimbingan Kim Hak-bum yang sudah berada di Malaysia sejak 28 Disember itu bagaimanapun masih mempunyai satu lagi perlawanan persahabatan tertutup iaitu bertemu Australia pada 3 Januari ini sebelum menghadapi saingan sebenar di Thailand.
Dalam saingan Kejuaraan AFC B-23, Korea Selatan telah diundi dalam kumpulan C untuk bersama-sama Iran, China dan Uzbekistan.
Korea Selatan akan berdepan China pada 9 Januari ini manakala Iran menanti berselang tiga hari kemudian di Stadium Tinsulanon, Songkhla.
Aksi terakhir peringkat kumpulan pula berlangsung 15 Januari di Stadium Thammasat, Pathum Thani yang menyaksikan Uzbekistan menjadi lawan terakhir mereka.
Kredit foto: Harian Metro