Penyerang muda negara iaitu Fergus Tierney dilaporkan tidak akan berada lebih lama di saingan divisyen kedua Thailand bersama Chonburi FC apabila dirinya tiada dalam perancangan pasukan berkenaan.
Menerusi laporan SNE Sports, pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) kelab tersebut memutuskan untuk menamatkan kontrak Tierney dengan lebih awal sebagai tanda penstrukturan semula pada pertengahan liga.
Terdahulu, Tierney menggemparkan arena bola sepak Malaysia apabila beliau menyertai Chonburi FC pada awal saingan divisyen kedua di Thailand setelah mempamerkan aksi cemerlang buat JDT II.
Sepanjang penyertaan bersama Chonburi FC, pemain berusia 21 tahun itu telah merekodkan satu gol daripada 13 penampilan selain turut mencatat satu bantuan jaringan.
Selain Tierney, seorang lagi pemain import pasukan tersebut iaitu Charlie Clough turut dilaporkan tiada dalam perancangan pasukan berkenaan dan akan pulang kembali bersama kelab asalnya, Port FC.
Musim ini sebenarnya merupakan satu detik terbaik buat Tierney apabila beliau buat pertama kali diberi peluang beraksi di luar negara bersama Chonburi FC setelah mengharungi musim cemerlang buat pasukan simpanan.
Malah, Tierney juga telah mencipta penampilan sulung beliau pada musim ini di pentas antarabangsa bersama pasukan senior negara apabila dirinya diberi peluang beraksi ketika aksi menentang Laos.
Hadir dengan momentum terbaik, Tierney sekali lagi terpilih mewakili Harimau Malaya untuk saingan AFF yang telah pun bermula sejak semalam untuk bersama-sama tonggak senior lain serta membuka akaun jaringan sulung buat Malaysia senior.
Pada usia masih muda, Tierney memiliki lebih banyak masa untuk membentuk diri selaku penyerang berbisa Malaysia pada masa hadapan menerusi kualiti serta kekuatan fizikal dimiliki.
Tercetus persoalan di kalangan peminat mengenai hala tuju seterusnya buat pemain tersebut pada masa hadapan jika Tierney akan kembali bersama JDT atau memilih kelab baharu secara pinjaman.
Pada pandangan kami pula, JDT mungkin akan terus meminjamkan Tierney bersama kelab baharu memandangkan posisi serangan mereka kini sudah pun lengkap dan sukar buat pemain muda itu cuba bersaing.
Walaupun begitu, dijangka Tierney akan dipinjamkan bersama kelab dari luar negara yang mampu memberi ruang untuk beliau terus berkembang serta matang.
Bagaimana pula pandangan anda? Adakah Tierney akan terus kekal bersama JDT dalam Malaysia atau beliau bakal dipinjamkan kepada kelab-kelab baharu di luar negara?