Kelantan Darul Naim (KDN) bakal hadapi satu lagi cabaran getir pada hari ini dalam saingan Liga Super 2024/2025 dengan membabitkan pertemuan pasukan itu menentang Kuala Lumpur City (KL City).
Prestasi semasa menyaksikan KDN kini berada pada tahap cukup menyakinkan, selepas pasukan itu masih lagi segar akan kemenangan 3-2 mengatasi Negeri Sembilan pada 27 September lalu.
Hadir dengan beberapa rombakan dalam kalangan pemain tempatan serta import, jelas skuad kendalian Park Jaehong ingin memperbaiki aspek semasa mereka yang tidak konsisten sejak awal saingan berlangsung.
Walaupun begitu, aksi bertemu KL City hari ini dijangka bakal memberi kesukaran buat pasukan tersebut kerana mereka tempang tanpa dua tonggak utama akibat menjalani hukuman penggantungan perlawana kerana mengutip tiga kad kuning.
Dua pemain tersebut ialah bintang utama Palestin, Oday Kharoub bersama pertahanan kental, Michal Jerabek dan sudah tentu impak ketiadaan mereka akan dirasai.
Walaupun begitu, pengendali kelab tersebut tampil tidak gusar kehilangan dua pemain berkenaan selain mereka memiliki perancangan untuk menyekat momentum semasa KL City.
Menyedari kekuatan semasa mereka terdahulu kurang menyakinkan, Jaehong kini menganggap KDN tampil berbeza selepas ada pemain baharu dibawa masuk.
“Jelas kehadiran pemain baru membolehkan kami mencatat kejayaan sebelum bertandang ke Cheras.
“Aksi dengan Kuala Lumpur, kami kena tunjuk apa yang kami miliki terutamanya ketika bertahan, kami juga kena tahu di mana, apa yang dirancang dan bagaimana nak atasi tekanan,” katanya menerusi laporan Berita Harian.
Pada masa sama, Jaehong juga memasang tekad untuk terus memberi rasa gembira kepada penyokong menerusi persembahan terbaik dipamerkan mereka di atas padang.
“Kami akan pamerkan persembahan yang baik atas padang supaya penyokong bangga dan terus memberi sokongan kepada pasukan,” ujar beliau lagi.
Untuk rekod, KDN setakat ini telah pun menandatangani enam pemain baharu musim ini dengan tiga daripadanya membabitkan tonggak import baharu.
Layth Kharoub, Aung Kaung Mann, dan Washington Brandao dijangka bakal memainkan peranan penting untuk aksi ini bagi menggantikan khidmat Oday serta Jerabek.
Walaupun begitu, cabaran semasa KL City juga tidak boleh dipandang remeh kerana mereka turut memiliki barisan pemain berkualiti seperti Paulo Josue serta bintang muda Harimau Malaya Haqimi Azim di posisi serangan.