Kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) nyata tidak dipandang enteng oleh Putrajaya dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh BERNAMA semalam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta Kementerian Luar mengkaji semula perkembangan dan situasi semasa di Korea Utara.
Beliau juga berharap badan bertanggungjawab itu mengkaji sebaiknya keperluan untuk mengeluarkan nasihat perjalanan ke negara republik itu.
Khairy Jamaluddin mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai membalas titah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sebelum ini DYAM Tunku Mahkota Johor berkenaan keselamatan ahli pasukan Harimau Malaya sepanjang berada di negara berkenaan kelak.
Sebelum ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memuktamadkan perlawanan kelayakkan Pusingan Akhir Piala Asia 2019 di antara Korea Utara dan Malaysia diadakan pada 8hb Jun 2017 di Pyongyang.
Arahan oleh AFC itu adalah berikutan tiada sekatan daripada kerajaan Malaysia untuk rakyatnya berkunjung ke Pyongyang.
Putrajaya sebelum ini menghalang skuad Harimau Malaya ke Pyongyang untuk perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 28hb Mac pada asalnya.
Dalam kenyataan itu, Khairy menjelaskan larangan atau nasihat perjalanan bukanlah di bidang kuasa kementerian beliau.
“Keputusan nasihat perjalanan ke luar negara adalah bidang kuasa Wisma Putra. Dan kami belum lagi berbincang dengan Kementerian Luar.
“Tetapi memandangkan kenyataan yang dikeluarkan Presiden FAM pagi tadi, kami telah meminta Wisma Putra melihat keadaaan di Korea Utara dan memaklumkan kepada saya.
“Saya sudah berhubung dengan menteri luar dan keputusan akan dibuat secepat mungkin,” jelasnya Khairy selepas sidang media penajaan Sukan SEA 2017 semalam.
Khairy turut menjelaskan keputusan yang diambil oleh kerajaan akan mengambil kira hubungan dua hala kedua-dua buah negara.
“Keputusan penasihat perjalanan adalah berat dan hanya Wisma Putra sahaja yang boleh memutuskannya. Jika pihak kami yang buat keputusan dan dilihat tidak wajar ia boleh menjejaskan hubungan kita yang sedang dipulihkan.”
“Namun setakat ini masih belum ada keputusan rasmi. Cuma kerajaan perlu fikir perkara tersebut sebaik-baiknya.”
“Sudah tentu kita tidak akan kompromi keselamatan rakyat, termasuk pemain-pemain kita,” jelasnya beliau menjawab soalan wartawan.
Semalam kami turut melaporkan bantahan Presiden FAM, DYAM Tunku Mahkota Johor berkenaan penetapan pihak AFC untuk perlawanan diteruskan di Pyongyang.
Baginda turut menyatakan kemungkinan akan didenda atau kekalahan automatik skuad kebangsaan jika FAM mengambil keputusan untuk tidak terbang ke Pyongyang.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan kemungkinan isu sabotaj turut akan timbul jika skuad Harimau Malaya meneruskan kunjungan ke Pyonyang.
Presiden FAM, DYAM Tunku Mahkota Johor tetap menegaskan keselamatan rakyat Malaysia termasuk pemain-pemain kebangsaan adalah agenda utama badan induk bola sepak negara itu.
Baca juga: Pusingan Akhir Kelayakkan Piala Asia Diteruskan Di Pyongyang